BAU: Enam lelaki ditahan polis disyaki bermain judi holo di kaki lima sebuah rumah di Taman Siniawan, Jalan Kuching-Bau, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 10.45 malam.

“Lelaki berusia 21 hingga 47 tahun itu ditahan menerusi Op Limau oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
“Semakan rekod kesalahan terhadap kesemua lelaki mendapati tiada rekod kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam tangkapan berkenaan polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian jenis holo dan sejumlah wang ringgit.