Enam ditahan terbabit pergaduhan

KUCHING: Polis menahan enam lelaki yang disyaki terbabit dalam pergaduhan bersenjata di hadapan sebuah hotel di Jalan Tun Abang Haji Openg, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, pergaduhan yang berlaku sekitar jam 11.50 pagi itu melibatkan dua kumpulan remaja dipercayai berpunca akibat perselisihan faham.
“Pada jam 12.10 tengah hari, pasukan operasi berjaya menahan empat suspek di lokasi kejadian, manakala dua lagi suspek lain turut ditahan ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awang Din menambah kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 hingga 19 tahun.
Dalam pada itu, beliau berkata polis kini masih mengesan rakan-rakan kumpulan terbabit yang masih bebas.
Justeru, katanya mereka yang masih bebas diminta untuk menyerahkan diri.
Ujarnya, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun keseksaan.