KUCHING: Seramai enam gelandangan ditahan kerana didapati positif dadah jenis syabu dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan dari jam 1 petang sehingga 12 tengah malam Sabtu lalu.
Operasi yang diketuai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu turut melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Pejabat Residen dan Jabatan Kesihatan.
Menurut AADK dalam kenyataan hari ini, keenam-enam gelandangan terbabit merupakan antara sembilan lelaki yang dikesan positif dadah jenis syabu dalam operasi berkenaan.
Katanya kesemua mereka adalah berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an.
Antara lokasi operasi adalah di bangunan terbiar Jalan Ajibah Abol, Kampung Panglima Seman dan Kampung Rampangi.
“Enam lelaki yang ditahan difahamkan golongan gelandangan yang sudah menerap di bangunan terbiar di Jalan Ajibah Abol di sini,” katanya.
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (pindaan 1998).