Enam juta hektar untuk hutan kekal

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk melindungi hutan dengan menetapkan sasaran sejuta hektar tanah sebagai kawasan terlindung sepenuhnya dan enam juta hektar sebagai kawasan hutan kekal.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata, sasaran itu adalah sebagai bekalan kayu untuk pembangunan sosioekonomi negeri ini.

“Malaysia merupakan bumi dengan kepelbagaian biodiversiti yang kaya dengan hutan tropika. Di Sarawak meliputi kira-kira 63 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah.

“Sejak 100 tahun lalu, perhutanan menjadi tulang belakang ekonomi Sarawak dan menyumbang ke arah pembangunan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bicara Teknologi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) yang pertama kali diadakan di sini, semalam.

Tambah Wan Lizozman, acara terbabit ialah platform bagi Frim berkongsi hasil penyelidikan dan pembangunan serta teknologi terkini dalam bidang perhutanan.

“Frim bersedia menjadi perantara dalam menyediakan inovasi dan solusi ke arah memastikan sumber dihasilkan daripada pengurusan hutan dapat diguna pakai.

“Namun, apabila perkembangan berlaku, kesan sampingan juga akan muncul. Kami komited menyeimbangkan keperluan dan pembangunan lantas menjaga sumber hutan, persekitaran dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya lagi, Kerajaan Sarawak perlu mengkaji semula dasar dan ordinan mengukuhkan pengurusan hutan serta industri berasaskan kayu.

Beliau berharap FRIM dapat menjadi ejen perantaraan dalam menyediakan inovasi dan penyelesaian untuk memastikan sumber hutan dapat dimanfaatkan secara lestari.