KUCHING: Sarawak melaporkan enam kes kematian baharu hari ini melibatkan jangkitan Covid-19. Jumlah kematian akibat jangkitan wabak berkenaan telah meningkat kepada 207 orang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan berkata, kes kematian ke-202 melibatkan lelaki berumur 70 tahun yang dimasukkan ke Hospital Bintulu kerana mengalami gejala batuk dan sakit di bahagian perut dua hari sebelumnya.
Kata JPBN, kes disahkan meninggal dunia pada 3 Mei lalu. “Kes ini mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi dan kencing manis. (Kluster Sungai Selitut),” jelas jawatankuasa tersebut dalam satu kenyataan.
Manakala, kes kematian ke-203 adalah kes ke-33,624 melibatkan seorang lelaki 59 tahun yang telah dirujuk ke Hospital Kapit kerana ditemui tidak sedarkan diri di rumah oleh ahli keluarga.
Kata JPBN, kes disahkan meninggal dunia pada 5 Mei dan kes mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi, kencing manis, dislipidemia dan strok. Jelasnya, kematian ini dikategorikan sebagai Brought-In Dead (BID).
Bagi kes kematian ke-204, kata JPBN kes melibatakan seorang lelaki berumur 57 tahun yang telah dirujuk ke Hospital Sibu dari PKRC kerana ditemui tidak sedarkan diri.
“Menurut sejarah kesihatan, kes didapati mengalami gejala demam, cirit-birit dan kurang selera makan.
“Saringan ujian rt-PCR yang di buat pada 27 April 2021 didapati positif dan disahkan meninggal dunia pada 5 Mei lalu,” jelasnya.
Kata JPBN, kes ini mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi, kencing manis, dan gout.
Sementara, kes kematian ke-205 adalah kes ke-34,065 melibatkan seorang perempuan berumur 87 tahun yang telah dirujuk ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam dan kesukaran bernafas seminggu yang lalu.
Kata JPBN, kes disahkan meninggal dunia pada 6 Mei lalu dan mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi, kencing manis, dislipidemia
dan penyakit buah pinggang.
Manakala kes kematian ke-206 melibatkan seorang lelaki berumur 90 tahun yang telah dibawa ke Hospital Saratok bagi rawatan kecemasan kerana ditemui kurang responsif di rumah oleh ahli keluarga.
“Menurut sejarah kesihatan, kes didapati mengalami gejala batuk dan kurang selera makan.
“Kes disahkan meninggal dunia pada 7 Mei lalu dan kes ini mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi, kencing manis, dislipidemia, dan penyakit buah pinggang,” katanya.
Bagi kes kematian ke -207, JPBN berkata kes ini melibatkan seorang lelaki berumur 70 tahun yang telah dirujuk ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam, batuk dan kelesuan badan.
“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 8 Mei.
“Kes ini mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi, kencing manis, dislipidemia, gout dan penyakit buah pinggang,” kata jawatankuasa tersebut.