
MIRI: Enam lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup kayu balak secara haram pada jarak lebih kurang 20 batu nautika Kuala Sungai Miri, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Mohd Shafie Paing berkata, kesemua suspek masing-masing berusia lingkungan 22 hingga 43 tahun dicekup di sebuah bot tunda bersama tongkang muatan kayu balak.
“Bot tunda dan tongkah itu yang dikendalikan oleh seorang nakhoda kapal bersama lima kru lelaki itu gagal menunjukkan dokumen domestic shipping license (DSL).
“Oleh itu, mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau meminta komuniti Maritim khususnya di Miri untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah, mencurigakan atau berhadapan situasi cemas ketika berada di laut kepada pihak berkaitan.
Tambahnya, talian secara terus kepada Pusat Operasi Zon Maritim Miri telah disediakan iaitu 085-434055 atau pusat operasi Maritim Sarawak di talian 082-432544 mahupun MERS 999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.