BAU: Serbuan di dua kampung di sini semalam membawa kepada penahanan enam lelaki berusia antara 19 hingga 60 tahun, dengan kesemua mereka didapati positif amphetamine dan methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang berlangsung dari kira-kira jam 11 pagi hingga 12.35 tengah hari itu turut menemukan dadah disyaki syabu dalam pemeriksaan di dua kediaman berasingan.
Menurutnya, pemeriksaan di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Kampung Sri-eng menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.23 gram.
“Sementara itu, pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Skibang menemukan dua paket plastik lutsinar mengandungi bahan serupa seberat 0.30 gram,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Haide menambah, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas daripada kedua-dua lokasi ialah 0.53 gram, dengan anggaran nilai RM50.
Beliau berkata, dua lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah berkenaan, manakala empat lagi turut ditahan selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, mengikut kesalahan masing-masing.
“Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.





