MIRI: Polis menangkap enam lelaki tempatan dipercayai terlibat dengan pergaduhan di tempat letak kereta pusat beli belah, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 11 pagi.
Katanya, keenam-enam suspek berumur antara 19 hingga 34 tahun ditahan susulan laporan diterima.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu Merusuh Dengan Senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana Melakukan Khianat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu beliau berkata, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil ke Balai Polis Pusat Miri bagi menyalurkan maklumat atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat iaitu SI Ramping Jimbai di talian 085- 433222.
Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan pergaduhan berkenaan memaparkan sekumpulan lelaki menerajang dan memukul sebuah kereta jenis Honda.