
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyita enam buah motosikal atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Motosikal sempena Op Tahun Baharu Cina di Jalan Kuching-Serian.

Menurut JPJ Sarawak, motosikal berkenaan disita atas kesalahan tiada lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran bagi menghentikan kesalahan berulang di atas jalan raya.
“Menerusi operasi ini, sebanyak 124 buah kenderaan diperiksa dan beberapa notis ketidakpatuhan seperti tiada lesen memandu, LKM, tiada perlindungan insuran pihak ketiga dan kesalahan-kesalahan teknikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru katanya, pengguna jalan raya diberi peringatan supaya memastikan kenderaan yang digunakan mematuhi undang-undang yang dibenarkan dan memastikan telah mempunyai lesen memandu sebelum memandu di atas jalan raya.
“Pihak JPJ akan sentiasa melakukan penguatkuasaan secara berfokus dalam memastikan undang-undang sedia ada,” jelasnya.