Enam orang lelaki ditahan sepanjang tempoh 11 hari operasi Op Benteng Covid-19 oleh PGA Sarawak

KUCHING: PGA Sarawak berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan empat orang warga Indonesia serta sebuah kenderaan jenis Honda Hybrid sepanjang tempoh Op Benteng Covid-19 pada dalam bulan ini.

Komander Briged PGA Sarawak, Mancha Ata berkata, sepanjang tempoh berkenaan pasukannya turut melakar dua siri kejayaan.

Menurutnya, PGA Sarawak berjaya menahan tiga orang lelaki warga Indonesia yang cuba menyelinap masuk ke Malaysia melalui jalan tikus di kawasan sempadan Malaysia/ Indonesia, Biawak, Lundu pada jam 8.15 pagi, 10 Disember lalu dalam siri pertama.

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Ketua serbuan juga telah mengarahkan ketiga-tiga mereka berpatah balik ke Indonesia menggunakan laluan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kesalahan tersebut di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan  Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Imigresen 1959 (Akta 155) Seksyen 6(1).

Sementara itu, pada 11 Disember lai sekitar jam 11.00 malam PGA telah menahan dan memeriksa kenderaan jenis Honda Hybrid yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan Pati.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menahan seorang lelaki warga tempatan dan dua orang lelaki warganegara Indonesia atas kesalahan memasuki Sarawak tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Kita telah turut merampas kenderaan berkenaan dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM80,000,” katanya lagi.

Hasil tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Balai Polis Tebedu, Serian untuk tindakan
dan siasatan lanjut.

Kesalahan terbabit di bawah Akta Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

Kedua-dua siri kejayaan berkenaan adalah dari sepasukan polis dari Batalion 11 PGA Batu Kawa.

Beliau juga memberitahu bahawa sepanjang Operasi Op Benteng Covid, PGA Sarawak mencatatkan kejayaan bernilai RM1,699,422 dengan rekod kes sebanyak 52 yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 198 orang.

Suara Sarawak