KUCHING: Enam pasukan bakal berentap untuk memburu gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Liga Wanita Nasional (LWN) Zon Sarawak 2022 yang berlangsung bermula 27 hingga 31 Julai ini.
Pasukan yang terlibat adalah Samarahan, Serian dan Betong (Kumpulan A) serta Sarikei, Sibu dan Kuching (Kumpulan B).

Menurut Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdul Razak Salleh, kejohanan selama lima hari itu dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysis (FAM) dengan kerjasama FAS dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
“Ia dilangsung secara liga kumpulan dan dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir.
“Stadium Mini Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan dan Padang INTAN, Kota Samarahan akan digunakan sepanjang saingan,” ujar Razak kepada Arena Suara Sarawak.
Razak yang juga Pengerusi Tetap Jawatankuasa Futsal, Bola Pantai dan Bola Sepak Wanita FAS menambah saingan peringkat kumpulan pula berlangsung sehingga 29 Julai disusuli perlawanan peringkat separuh akhir pada 30 Julai.
Katanya, aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada 31 Julai dilakukan pada sebelah pagi manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pukul 3:30 petang hari yang sama.
Selepas pertandingan ini, Sarawak akan menyertai Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) yang dijangka berlangsung pada bulan September nanti.
Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) akan disertai lapan pasukan, masing-masing sebuah pasukan dari Zon Sarawak dan Zon Sabah serta enam pasukan terbaik di Semenanjung Malaysia dari Zon Tengah, Utara dan Selatan iaitu dua pasukan (Juara dan Naib Juara) di setiap zon berkenaan.