MIRI: Enam pelancong yang terkandas akibat kepala air di Sungai Paku, Mulu dilaporkan selamat selepas berjaya keluar dari lokasi berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua mangsa yang terdiri daripada lima warganegara tempatan dan seorang pelancong Jepun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, sebelum ketibaan pasukan penyelamat, pemandu pelancong dan porter yang terkandas juga cuba mencari laluan keluar yang lain.
“Hasil usaha mereka, pemandu pelancong berjaya membawa keluar semua mangsa yang berada di lokasi menggunakan jalan alternatif,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu Pusat Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Marudi terima panggilan mangsa termasuk empat krew terkandas kira-kira jam 12.00 tengah hari semalam.
Kesemua mangsa dilaporkan memohon bantuan untuk menyeberang sungai kerana paras air meningkat akibat hujan lebat di lokasi.
“Bagaimanapun semasa dalam perjalanan ke lokasi kejadian, pasukan penyelamat berjaya menjumpai mangsa.
“Difahamkan, sebelum ketibaan pasukan penyelamat, pemandu pelancong dan porter yang terkandas juga telah cuba mencari laluan keluar yang lain,” katanya.