Enam penganggur dicekup angkara dadah

KUCHING: Enam penganggur termasuk seorang wanita ditahan di Daerah Bau atas kesalahan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 1.72 gram semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, enam individu yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 36 tahun.

“Kita membuat serbuan pada pukul 9.30 pagi semalam ke atas sebuah rumah di Kampung Melayu Jalan Johari Sunchar, Bau.

“Hasil serbuan, kita mendapati kesemua individu mempunyai dadah yang berat keseluruhan 1.72 gram dengan nilai RM200,” katanya menerusi satu kenyataan.

Malah, kata Poge, kesemua tahanan didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Hasil semakan turut mendapati empat daripada tahanan mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Maka, kita memohon tahanan reman hari ini,” tambahnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda RM100,000 jika disabit kesalahan.

Enam individu terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun sekiranya bersalah.