
KUCHING: Enam lelaki ditahan kerana didapati positif dadah dalam serbuan di pusat hiburan sekitar Tabuan Jaya, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching terdiri daripada dua pegawai dan 31 anggota.
Katanya, operasi bermula jam 9 malam hingga 2.30 pagi itu telah menahan 42 individu warga tempatan terdiri 21 lelaki dan 21 perempuan.
“Hasil pemeriksaan ujian air kencing ke atas semua individu tersebut mrndapati enam lelaki positif dadah jenis ketamin.
“Semua individu tersebut telah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka berdepan hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun.
Katanya, salah seorang daripada enam suspek mempunyai lima rekod lampau dadah.
