Enam peringkat penghantaran vaksin ke Sarawak

KUCHING: Sarawak akan menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech daripada Kerajaan Persekutuan menerusi enam peringkat penghantaran, dengan penghantaran pertama sudah diterima hari ini iaitu sebanyak 23,400 dos.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing berkata penghantaran kedua akan dibuat pada 2 Mac iaitu sebanyak 31,590 dos dan penghantaran ketiga pada 10 Mac, melibatkan 4,680 dos.

Beliau menambah penghantaran keempat adalah pada 17 Mac (4,680 dos), penghantaran kelima pada 24 Mac (14,040 dos) dan penghantaran keenam pada 31 Mac (9,360 dos).

“Fasa pertama vaksinasi kita akan bermula Jumaat ini sehingga 31 Mac dan kami cuba memberikan kepada 97,961 petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena ketibaan kumpulan pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech bagi Sarawak di Gudang Raya Airway (DHL), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datum Amar Jaul Samion.

Bagi fasa kedua dan ketiga vaksinasi, Dr Chin berkata ia akan bermula 1 April dan dirancang diselesaikan sehingga 31 Ogos.

Katanya vaksinasi ini akan mengutamakan golongan warga emas dan berisiko tinggi khususnya mereka yang menghidapi penyakit kronik.

“Kami menganggarkan seramai lebih 900,000 orang untuk menerima vaksin ini,” katanya.

Sementara, Uggah berkata penghantaran vaksin untuk seluruh bahagian di Sarawak hanya dapat dibuat menggunakan laluan darat.

“Kita menggunakan kontena khas dan sepanjang perjalanan ke destinasi akan dikawal ketat oleh polis,” katanya.

Menjelas lanjut, Uggah berkata penghantaran tidak dapat dibuat penggunakan udara sama ada helikopter atau kapal terbang atas sebab-sebab tertentu.

Suara Sarawak