Enam peserta bakal berdepan seorang pencabar setiap minggu dalam Program Realiti TVSTARZ

KUCHING: Seramai enam peserta baharu yang berbakat dalam bidang nyanyian bakal dikenali sebagai ‘The Dream Team’ akan berhadapan dengan seorang pencabar setiap minggu dalam Program Realiti Terbaru TVSTARZ musim pertama bermula 16 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman berkata, musim pertama TVSTARZ bakal memperlihatkan bakat nyanyian peserta.

“Untuk musim kedua pula bakal mempersembahkan kemahiran pengacaraan. Manakala, musim ketiga mengetengahkan kebolehan berlakon para peserta.

“Musim pertama akan bersiar selama sepuluh episod dan musim kedua serta ketiga hanya berlangsung selama enam episod,” katanya dalam satu sidang media di Restoran Theatre, Kozi Square hari ini.

Tambah beliau, setiap musim akan menampilkan peserta yang berbeza.

Katanya, mereka telah menerima lebih daripada 645 penyertaan dari Seluruh Malaysia termasuk negara jiran.

Jelasnya, program itu adalah unik dan berlainan daripada rancangan pencarian bakat yang lain kerana ia dihasilkan 100 peratus secara maya dan disiarkan di kaca televisyen.

Ini kerana, ekoran daripada keadaan semasa pandemik Covid-19 yang tidak menentu menyukarkan untuk program realiti bersemuka.

“Program Realiti TVSTARZ terbitan TVS ini akan menjadi fenomena baru dalam industri hiburan tanah air kerana bakal menjadi salah satu platform untuk melonjakkan bakat peserta ke tahap yang lebih tinggi sekali gus memanfaatkan industri kreatif tempatan terutamanya di Sarawak,” tegasnya.

Mengulas mengenai hadiah utama, beliau menyatakan bahawa telah berbincang dan masih menerima kemasukan daripada penaja-penaja lain serta akan diumumkan kemudian.

Program realiti itu bakal diacarakan oleh salah seorang penerbit TVS, Jay C. Manakala guru vokal ialah Yudhi Seriestha dan penyanyi terkenal tanah air, Ernie Zakri serta Amir Jahari dilantik sebagai juri tetap.

Selain itu, bekas Miss World Malaysia 2014 Dewi Liana Seriestha bakal menjadi guru vokal rasmi dan penerbit musik TVS Farouq Mousthofa sebagai penggubah lagu.

Turut hadir Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Datuk Norhayati Mohd Ismail.

Suara Sarawak