Enam rakyat Sarawak terkandas di Kepulauan Solomon dibawa pulang

KUCHING: Enam rakyat Sarawak yang terkandas di Kepulauan Solomon kini selamat dan dalam perjalanan pulang ke tanah air.

Empat dari mereka adalah dari Kapit iaitu Edau Mengit, 45, Melingang Laja, 43, Ricky Alex, 26, Ugot Masam, 31.

Manakala dua orang lagi iaitu Denis Anyie Ngau, 46, dan Anyie Ngau, 43, dari Baram.

Difahamkan, mereka kini berada di Singapura dan dijangka tiba di Kuching esok.

Kejayaan membawa pulang mereka adalah hasil usaha Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Tan Sri James Jemut Masing dan ADUN Telang Usan, Dennis Ngau dengan kerjasama Wisma Putra.

Ia juga dibantu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausahanya Datuk Seri Muhamad Shahrul Ikram Yaacob, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby MOhamad Nasri Abdul Rahman, Konsul Kehormat Malaysia di Kepulauan Solomon Hii Yii Ging, Mohd Rezza Mohd Yusof dari Pejabat Konsulat Malaysia di Papue New Guinea dan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Uggah.

Menurut Dennis, keenam-enam lelaki terbabit terkandas di Kepulauan Solomon selepas menghadapi masalah dengan majikan yang membawa mereka bekerja dalam industri balak di sana.

Mereka kemudian datang ke Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Kepulauan Solomon pada 13 Mei lalu untuk mengadu mengenai keadaan mereka.

Sejak mengetahui tentang masalah yang menimpa mereka, Dennis telah berusaha keras mendapatkan bantuan bagi membawa pulang mereka terutama bagi membeli tiket penerbangan, yang difahamkan RM3,800 seorang.

Suara Sarawak