Enam sekeluarga ditahan halang SEB

MIRI: Enam sekeluarga termasuk dua wanita ditahan polis kerana menghalang laluan masuk ke tapak projek sub stesen elektrik milik Sarawak Energy Berhad (SEB) di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, dalam kejadian 7.50 pagi itu, sebuah kenderaan milik mereka menghalang laluan yang menyebabkan kenderaan SEB tidak dapat memasuki ke dalam tapak projek.

“Pada awalnya, mereka hanya dinasihatkan untuk mengalihkan kenderaan tersebut di laluan itu, namun tidak diendahkan.

“Polis terpaksa menggunakan sedikit kekerasan untuk menangkap mereka dan dibawa ke balai polis,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang kerja penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Meng Seah memberitahu, operasi membuka halangan dan khemah haram yang didirikan oleh penduduk Kampung Lereng Bukit untuk menghalang projek sub stesen elektrik SEB bermula pada jam 6 pagi dengan penglibatan pelbagai jabatan, antaranya ialah SEB serta Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

“Sebelum ini, halangan dan khemah haram telah dibuat oleh penduduk kampung berkenaan untuk menghalang kontraktor SEB memasuki ke tapak pembinaan projek berkenaan kerana isu tuntutan tanah,” tambahnya.

Kata beliau, penduduk kampung terbabit mendakwa tapak tanah projek tersebut adalah tanah adat milik mereka dan meminta SEB membayar pampasan.

“Kes telah dibawa ke Mahkamah Tinggi Miri dan keputusan telah memihak kepada SEB dengan mahkamah mengeluarkan perintah supaya halangan haram perlu dibuka serta kerja pembinaan boleh diteruskan,” jelasnya.

Seramai 46 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menyertai operasi itu.