Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

Enam sekeluarga kemalangan, seorang maut

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Pasukan bomba berusaha membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Pasukan bomba berusaha membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BINTULU: Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki enam sekeluarga hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Nyabau di sini, malam tadi.

Insiden kira-kira jam 12.00 tengah malam itu, mengakibatkan pemandu kereta, Mathew Serang, 34, tersepit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.14 tengah malam dan sepasukan anggota yang diketuai Komander Operasi, Mazlan Tanin bergegas ke lokasi.

“Terdapat enam orang mangsa di dalam kenderaan tersebut. Empat daripada mereka telah dikeluarkan orang awam, manakala pemandu dan penumpang di bahagian hadapan tersepit.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat. Bagaimanapun pemandu kereta disahkan meninggal dunia, sementara seorang lagi mangsa cedera parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, empat lagi mangsa termasuk seorang wanita berusia 32 tahun, dua kanak-kanak serta seorang bayi hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kidurong menghala ke simpang Sibu.

Bagaimanapun setibanya di lokasi kenderaan mereka dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbalik.

E-Paper

21 Mac 2023

Latest News