KUCHING: Seramai enam lelaki warga asing bersama-sama 11 lelaki warga tempatan ditangkap disyaki menjalankan kegiatan perjudian haram.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, tangkapan dibuat menerusi lima serbuan Op Dadu dijalankan cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 1 April hingga 7 April lalu.
“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM188 serta beberapa kata laluan dan angka dan 31 unit telefon bimbit pelbagai jenama.
“Selain, sembilan set komputer dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk tujuan perjudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahsmon berkata, sebanyak dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi terbuka (ARJT) 1953 iaitu perjudian dalam talian dan boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun.
“Turut dibuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 4A(a) ARJT 1953 iaitu perjudian loteri awam tanpa kesen dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurag dari RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta hukuman penjara hingga tidak lebih lima tahun.
“Sementara, satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g) ARJT 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih dari RM50,000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun dan selain itu hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas,” katanya.