DALAT: Seorang lelaki tempatan dipercayai di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) telah ditahan oleh pihak IPD Daerah Daro pada Jumaat kerana gagal mematuhi arahan kuarantin kendiri dan dibebaskan dengan jaminan serta diarah meneruskan kuarantin sehingga 17 Oktober 2020.
Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chungat mendedahkan bahawa individu tersebut telah diperintah menjalankan kuarantin di rumah yang terletak di Rumah Dagang, Rantau Ensurai, Batang Oya dibawah HSO setelah sekembalinya dari Kuala Lumpur pada 4 Oktober lalu.
“Tempoh kuarantin yang perlu dipatuhinya bermula dari 4 Oktober hingga 17 Oktober 2020.
“Difahamkan ujian swab kali pertama telah diambil dan keputusan menunjukkan negatif diikuti ujian kedua turut dilakukan, namun sebelum keputusan diperolehi, lelaki tersebut telah keluar rumah untuk bekerja di Kuala Matu,”katanya kepada Suara Sarawak semalam.
Jelasnya lagi ketidakhadiran lelaki tersebut di rumahnya diketahui semasa pemeriksaan rutin harian oleh Pasukan Pemantau dari Balai Polis Stapang pada 15 Oktober (Khamis).
“Menurut ibunya ketika ditemui, anak ini keluar dari rumah dipercayai bersama majikannya pada waktu petang 14 Oktober (Rabu lalu) untuk bekerja di Kuala Matu walaupun ditegah.
“Tanpa berlengah pihak kita telah berusaha mengesan lelaki tersebut dengan bantuan pihak Polis IPD Daro dan telah berjaya mengesan keberadaannya.
“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daripada IPD Dalat yang diketuai Inspektor See Chie Chien telah menangkap lelaki tersebut di Kuala Matu pada pagi Jumaat dan setelah selesai proses dokumentasi, suspek dilepaskan dengan jaminan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 269 KK dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,”ujarnya lagi.
Saga turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak dan pucuk pimpinan Polis DiRraja Malaysia (PDRM) memandang serius tentang pematuhan SOP PKPP di negeri ini.
“Pihak Polis bersama dengan agensi lain seperti RELA dan APM akan mengadakan pemeriksaan setiap hari ke atas semua rumah indivodu dibawah pengawasan HSO setiap har dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran SOP demi kepentingan keselamatan masyarakat setempat,” tegasnya lagi.
Ujarnya lagi walaupun tahap pematuhan SOP di Dalat adalah memuaskan untuk tempoh ini, beliau menyeru semua masyarakat setempat termasuk para peniaga-peniaga meneruskan kerjasama dalam menentukan pematuhan SOP seperti mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka tempat awam serta menjaga kebersihan diri.
Terdahulu lelaki tersebut juga turut tular di media sosial Whatsapp dengan mesej berantai memberitahu langkah berwaspada perlu diambil dan disampaikan kepada sorang awam sekiranya ada menemui lelaki tersebut agar perkara yang tidak diingini berlaku.