ARTIKEL

Enigma Sang Avatar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

AVATAR: The Last Airbender menduduki top 10 serial Netflix sejak tayangannya dihebohkan, 10 hari lepas, 22 Februari.

Siri aksi yang ditunggutunggu ramai peminat itu segera mendapat 21.2 juta kali tontonan dalam tempoh empat hari sahaja.

Berdasarkan Netflix Tudum, Avatar: The Last Airbender ditonton 153.4 juta jam untuk tempoh sama bagi kategori bersiri TV berbahasa Inggeris.

Netflix menyebut, bahkan Avatar: The Last Airbender ini mampu mengalahkan siri aksi unggul kebanggaan Netflix – One Piece, karya Eiichiro Oda yang ditayang pada 31 Ogos 2023.

Menariknya, Avatar: The Last Airbender berada dalam tontonan top 10 di 92 negara setelah empat hari tayangannya.

Siri Avatar: The Last Airbender versi aksi live pernah muncul sekitar 14 tahun lalu.

Musim awal animasi Avatar: The Last Airbender ditayang pada 21 Februari 2005 hingga 2008 di televisyen.

Dua tahun kemudian, MTV Films dan Nickelodeon Movies memunculkan versi aksi live Avatar: The Last Airbender berdurasi satu jam 43 minit ditukangi M Night Shyamalan untuk tayangan 2010.

Namun, katanya, ramai yang kecewa dengan versi 2010 tersebut sehinggakan IMDb hanya memberinya ranking 4/10.

Pengkritik mengatakan, melalui The Last Airbender, filem menelan bajet AS$150 juta itu, dengan pendapatan hampir AS$320 juta (RM1.5 bilion), Shyamalan seakanakan tidak mampu mengarah genre lain di luar genre triler dan seram.

KONTROVERSI

Pendek kata, The Last Airbender menayangkan sisi gagal Shyamalan termasuk menuai beberapa kontroversi.

Baca lain  Bahtera raksasa

Bahkan, Shyamalan dianggap sebagai rasis ketika dirinya menggunakan watak berkulit putih untuk mengisi peranan bagi kisah aslinya merupakan karakter berdarah Asia.

Peminat turut mengkritik pemilihan kostum, karakter, alur cerita, kesan CGI, gerakan dan sebagainya yang menuai kemarahan dan rasa kecewa peminat animasi asal.

Malah, untuk filem tersebut, peminat menyindir apabila nama Aang disebut dengan panggilan Ong atau Ang… Kali ini, sekali lagi mengambil berkat Februari, penggemar Avatar dapat menonton filem aksi bersiri adaptasi komik produksi Nickelodeon ke pelantar Netflix yang ditayangkan bermula 22 Februari lepas.

Seperti animasi asal dan siri aksi 2010, siri petualangan fantasi ini mengisahkan remaja dikenali sebagai Aang, 12.

Netflix mempertaruhkan Gordon Cormier sebagai Avatar Aang, kacukan Filipina-Kanada yang turut berdepan dengan musuh yang mengejarnya Zuko anak raja bangsa Api lakonan Dallas Liu darah campuran CinaIndonesia-Amerika.

Aang seorang Avatar yang seharusnya menguasai empat elemen kerajaan; Udara, Air, Bumi dan Api yang pernah dikuasainya 100 tahun lalu — demi menyelamatkan dunia daripada bahana perang yang dicetuskan oleh bangsa Api.

Seperti yang disajikan dalam filem Avatar yang lepas termasuk komik asalnya, keempat-empat kekuatan Udara, Air, Bumi dan Api, sebelum ini hidup harmonis.

Sederetan karakter yang kompleks dan menarik terhidang dalam siri lapan episod ini, memiliki keperibadian yang kuat. Aang berasal daripada bangsa Udara, berusia 112 tahun, namun menghabiskan 100 tahun terakhir terjebak dalam dingin beku gunung ais.

Baca lain  Jatuh ke dalam dulang emas

TEKNOLOGI VFX

Aang terbebas ketika dua bersaudara dari Negara Air, Katara dan Sokka secara tidak sengaja. Di Netflix, Avatar: The Last Airbender dipadukan dengan elemen aksi live dan kecanggihan teknologi VFX serta kesan CGI.

Pemain watak utama, Gordon Cormier sebagai Avatar Aang… masih ada unsur dan paras Asianya! Untuk filem ini, Aang didampingi Katara pelakon Kiawentiio dan Sokka dibintangi Ian Ousley, berwajah Asia.

Perlu ditekankan perkataan “Asia” di sini, kerana skrip asal animasinya sememangnya berlatarbelakangkan Asia Timur – merangkumi China dan Jepun termasuk karakter yang diketengahkan sepanjang kisah.

Di setiap generasi, lahir Avatar yang memiliki kemampuan mengendalikan keempat-empat elemen sekali gus, sehingga terciptanya kedamaian antara bangsa ini.

Di sinilah falsafah masyhur bagi aksi live ini — yang sudah tentu mengingatkan makhluk dan kehidupan di seluruh semesta akan erti keseimbangan, keharmonian dan keamanan dalam kehidupan.

Kehidupan yang dipenuhi dengan fitnah, sengketa, hasad, adu domba dan bermuka-muka, padahnya pasti membawa kepada kehancuran bukan sahaja kepada dirinya sendiri, tetapi juga kepada manusia lain dan persekitarannya.

Ia bukan sekadar sebuah filem tentang kerenah makhluk dan puak di alam semesta, malah menyindir manusia di Bumi hal yang sama, hasad dan tamak kuasa mampu menghancurkan persahabatan, dunia dan tamadunnya.

PERANG

Mengambil misali (mithali) daripada Avatar: The Last Airbender — di tengah-tengah kedamaian, bangsa Api tempat tinggal para pengendali api mendeklarasikan perang kepada bangsa lain.

Baca lain  Wanita bekerja, wanita paling bahagia

Terbangunnya Aang daripada tidur 100 tahun, menyelamatkan dunia daripada serangan bangsa Api yang hasad dan tamak.

Sebelum ini, animasi Avatar: The Last Airbender mendapat penghargaan serta mendapat julukan sebagai siri televisyen terhebat sepanjang masa setelah mengangkat tema yang jarang ditonjolkan dalam filem animasi iaitu perang, genosida dan unsur gelap lainnya.

Untuk musim ini, Avatar: The Last Airbender menghidangkan lapan episod yang masing-masing berdurasi kurang sejam. 

Sebelum ini, beberapa aksi live yang dipadankan dari siri animasi seperti Dragon Ball Evolution, Fullmetal Alchemis, Attack on Titan, Death Note dan lain-lainnya dianggap menempah kegagalan.

Bahkan, ada yang menganggap adaptasi aksi live itu, justeru merosak isi cerita dari animasi yang dicintai peminat sejak lama.

Berlainan dengan siri aksi Avatar: The Last Airbender ini, peminat setia menunggu sambungan untuk musim keduanya dan peminat berharap ia tidak memakan masa yang lama kerana pelakon remaja sedia ada membesar dengan cepat.

Pengkritik sempat memberi contoh, misalnya semasa Gordon Cormier memulakan penggambaran sebagai Avatar Aang, dia baru berusia 11 tahun dan ketika filem ini tayang di Netflix, usianya sudah pun menjangkau 14 tahun.

Jangan silap, enigma Sang Avatar ini tidak sama dengan filem Avatar (manusia biru) karya James Cameron, meski kedua-duanya tetap sahaja mengkritik sikap dan perangai bobrok manusia!

BERITA LAIN

Obesiti selepas raya

PASTI ada yang kembali buncit pada hari raya kesembilan (hari ini), malah ada yang lebih besar kebuncitannya. Ia berpunca daripada pengambilan makanan berlebihan sejak raya

Jangka hayat, kematian semakin dekat

ADAKAH anda bersedia untuk mati? Adakah anda bersedia untuk meninggalkan legasi? Sekurang-kurangnya mendidik atau mempersiapkan pengganti untuk syarikat, pertubuhan dan sebagainya, termasuk dalam urusan pentadbiran.

Rayakan sebulan

HARI ini hari ketujuh kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sik berasa, terutama bagi golongan muda. “Lom puas beraya, dah mula bersekolah.” Antara dialog yang kita

Seni cipta kekayaan

BAGAIMANAKAH cara hendak menjadi bilionair? Kelihatannya bagi kebanyakan kita, hal ini bukannya mudah. Ia satu impian yang sukar digapai oleh lapan bilion manusia di planet

Sampah plastik cemar lautan

KETIKA manusia membuang sampah plastik di taman atau pantai, jalan raya, aliran air – aktiviti alam membawa cebisan plastik itu melalui longkang ke sungai untuk

Tradisi Aidilfitri yang hilang

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya. Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan

BERITA TERBARU

Bacaan IPU Sarawak baik, sederhana

KUCHING: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh Sarawak menunjukkan bacaan baik dan sederhana serta tiada bacaan tidak sihat direkodkan susulan letusan Gunung Ruang di Sulawesi