Era baharu bola sepak Sarawak

SEJAK menyertai Liga Malaysia pada 1979, pasukan bola sepak Sarawak mengalami detik ‘pahit manis’.

Daripada pasukan belasahan, skuad Sarawak mengorak langkah dan mengalami transformasi, sebagai pasukan disegani pada era 1988, 1989, 1992 hingga awal era tahun 2000-2006.

Bermula 2007 hingga 2012, Sarawak berprestasi tidak menentu, namun bangkit semula pada 2013 apabila menjuarai Liga Perdana dan ke separuh akhir Piala Malaysia.

Namun, selepas itu hingga 2019, Sarawak yang pernah menjuarai Piala FA 1992, Piala Sumbangsih 1998, Liga Perdana 1997 & 2013 dan sebagai finalis Piala Malaysia 1999 kembali merudum.

Tahun 2019 merupakan musim terburuk dalam tempoh 31 tahun, bukan sahaja berada di tangga tercorot Liga Premier, tetapi kalah 3-1 di tangan Kuching FA dalam perlawanan playoff.

Bagi peminat tegar yang begitu sinonim dengan laungan Ngap Sayot (1988-1989) dan Bujang Senang (1992-1998), mereka seolah-olah tidak dapat menerima hakikat, pasukan utama Sarawak beraksi dalam Liga M3, liga kelas tiga yang tidak sewajarnya menjadi destinasi bagi pasukan yang pernah bergelar sebagai antara gergasi di Malaysia.

Oleh itu, penyertaan semula pasukan Sarawak ke Liga Premier 2020 bagaikan membawa semangat baharu. Walaupun kita masuk melalui ‘pintu khas’, menerusi pembelian lesen pasukan kelab, Selangor United di samping menukar nama, daripada Sarawak kepada Sarawak United, namun ia bukanlah isu yang perlu dipersoalkan.

Asalkan ia boleh memajukan bola sepak Sarawak dan mampu menarik semula puluhan ribu penyokong ke stadium, itu yang lebih penting.

Bagaimanapun, pasukan Sarawak FA masih kekal bersaing dalam Liga M3. Ini bermakna, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mempunyai dua buah pasukan, Sarawak United sebagai pasukan utama, manakala Sarawak FA sebagai pasukan kedua atau feeder team.

Oleh itu seelok-eloknya pasukan Sarawak FA dibarisi generasi pemain muda bertenaga dan bersifat lokal, sesuai dengan reputasi mereka sebagai pasukan kedua.

Ia juga bermakna, Sarawak United akan bersaing dengan pasukan Kuching FA dalam Liga Premier 2020… sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak Sarawak sejak menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1979.

Walaupun atas nama kelab, tetapi dua wakil Sarawak itu tetap mengibar bendera Sarawak sebagai asas perjuangan. Kuching FA layak ke Liga Premier setelah muncul naib juara Liga M3 dan memenangi saingan play-off November lalu.

Cuma kita tidak tahu sampai bila pasukan berstatus kelab mampu bertahan. Ini kerana dalam sejarah bola sepak negara, lebih 30 buah kelab menyertai Liga Malaysia dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini.

Kehadiran pasukan kelab bukan hanya sebagai pencukup bilangan pasukan, tetapi mampu memberikan impak besar.

Siapa yang tidak kenal kelab MPPJ dari Selangor yang dikemudi Dollah Salleh pernah menjuarai Piala Malaysia 2003 setelah mengatasi Sabah 3-0 dalam aksi final.

Selain itu, Felda United juga pernah ke final Piala FA 2014, kalah 2-1 kepada Pahang. Begitu juga Sime Darby, tewas 1-0 kepada Kelantan dalam final Piala FA 2012.

Cabaran besar pasukan kelab

HANYA PKNS yang masih kekal, mereka adalah naib juara Piala FA 2016, tewas kepada JDT dalam aksi final. Sekarang ini pasukan kelab yang paling berjaya ialah JDT, yang dijenamakan daripada kelab Johor FC.

Mereka bukan sahaja menyapu bersih kejohanan utama di Malaysia untuk beberapa tahun, tetapi turut menggegar kejohanan peringkat tinggi di Asia Tenggara.

Malah Sabah juga pernah mempunyai pasukan kelab iaitu Sebagoo FC yang ditubuhkan pada 1991, sempena nama Kampung Kebagu, Sepanggar Kota Kinabalu. Mereka menyertai Piala FAM pada 2013, namun menarik diri pada 2014.

Pada 2016, Sabah juga mempunyai wakil kelab dalam Piala FAM iaitu DYS FC (Diamond Your System FC), juga dari Kota Kinabalu. Bagaimanapun ia lenyap begitu sahaja.

Selain itu, beberapa lagi kelab yang muncul seperti AirAsia FC, SDM Kepala Batas, Betaria FC, PBAPP FC, Jenderata FC, Ibraco FC (Sarawak), KL Plus dan banyak lagi.

Namun sebahagian besar daripada mereka terkubur, gara-gara gagal menyerlah di samping bebanan kewangan yang melampau.

Bagaimanapun, kita berharap Kuching FA yang dibentuk pada 2017 dan Sarawak United mampu bertahan lebih lama. Ia bergantung kepada pencapaian dan kondisi kewangan.

Yang pasti, kemunculan Sarawak United dan kehadiran Kuching FA dalam Liga Malaysia 2020 merupakan era baharu bola sepak Sarawak.

Dengan adanya bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk Kerajaan Negeri, serta usaha gigih pihak pengurusan, jurulatih dan barisan pemain, siapa tahu dua wakil dari Bumi Kenyalang itu mampu menemui semula ‘sentuhan kemenangan’ seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.