NAIB juara Sinaran Pasport Kegemilangan 2020, Erna Elliyana digelar sebagai ‘Ratu Sponsorship’ selepas beliau mengambil keputusan menaja konsert Andmesh Kalang.
Penyanyi lagu Bukan Untuk Sesaat itu berkata, tajaan konsert Andmesh Kalang dalam masa terdekat ditaja menerusi jenama kecantikan Kamya Glow dan Restoran Daigor Hong Kong Muslim.
“Kamya Glow menjadi penaja konsert yang diadakan pada Jun, manakala Daigor yang baru sahaja dibuka menaja acara makan malam sempena majlis berjumpa bintang Indonesia itu bersama-sama peminatnya,” katanya.
Dalam pada itu, Erna turut mengakui beliau sering menerima hantaran mesej daripada peminat yang meminta beliau kembali bergiat dalam bidang seni, tetapi beliau menjelaskan ingin fokus dengan perniagaan dahulu.
“Saya memang sayang akan dunia hiburan, tapi saya masih belum tergerak hati kembali aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan.
Ini mungkin kerana saya sibuk berniaga.
“Bagaimanapun, minat saya masih kukuh dalam bidang hiburan, justeru saya memberi sokongan menerusi tajaan pelbagai program dan festival serta yang terbaharu, kami turut menaja beberapa siri konsert,” jelasnya.