Esok hari penentu, kad penentu kerajaan baharu di tangan GPS

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyatakan pendirian mengenai penglibatan dalam desas-desus pembentukan kuasa politik baharu negara, dalam sidang media yang dijadual esok.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, perkara itu akan dinyatakan sendiri oleh Ketua Menteri selaku pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“GPS akan mengadakan sidang media esok jam 5 petang. Ketua Menteri akan menyatakan pendirian kami dalam isu ini,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi yang turut mengaitkan GPS dalam pensejajaran kerajaan baharu bersama Bersatu, Umno, serpihan PKR, Pas dan Warisan.

GPS merangkumi empat parti komponen yang mentadbir kerajaan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PRS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

GPS mempunyai 19 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, PBB mempunyai 13 kerusi, PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1).

Suara Sarawak