ARTIKEL

Foto: Blue Ocean Strategy

Estonia benarkan undi melalui telefon bimbit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RIGA, Estonia: Rakyat Estonia dapat mengundi dalam pilihan raya melalui telefon bimbit selepas Parlimen di Tallinn meluluskan rang undang-undang (RUU) berkaitan yang diperkenalkan oleh kerajaan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di rantau Baltik itu semalam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut RUU itu, pengundian elektronik bukan sahaja boleh dilakukan menerusi komputer, tetapi juga melalui aplikasi khas bagi sistem operasi biasa pada peranti mudah alih.

Keperluan teknikal akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum setiap pilihan raya.

Perubahan undang-undang itu dijangka berkuat kuasa pada Oktober.

Namun demikian, pengundian melalui telefon bimbit belum dapat digunakan bagi Pilihan Raya Parlimen Eropah pada Jun.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan IT Estonia, Tiit Riisalo berkata peraturan baharu itu bertujuan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku penggunaan rakyat.

“Sebahagian besar aktiviti digital harian rakyat kini beralih daripada komputer kepada peranti pintar dan e-Estonia mesti dapat diakses oleh semua di platform baharu dan meluas ini,” kata menteri itu.

Pada 2005, Estonia menjadi negara pertama di Eropah yang membenarkan pengundian dalam talian dalam pilihan raya politik.

Pada peringkat antarabangsa, prosedur ini masih kontroversi di kebanyakan tempat kerana kebimbangan tentang kebolehpercayaannya.

Di negara Baltik yang sering digelar sebagai e-Estonia ini, ia telah menjadi kebiasaan.

Lebih separuh daripada semua undian dibuat secara digital dalam Pilihan Raya Parlimen pada Mac 2023.

Seramai 1.2 juta rakyat negara Baltik itu juga boleh melakukan hampir segala-galanya secara dalam talian dalam kehidupan seharian mereka.

Estonia dianggap sebagai perintis dan pelopor dalam digitalisasi dan pentadbiran elektronik di Eropah. — BERNAMA

BERITA LAIN

Ireland secara rasmi iktiraf Negara Palestin

DUBLIN: Ireland secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin dan menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk mendengar suara masyarakat antarabangsa dan menghentikan malapetaka kemanusiaan di Semenanjung

Jepun mahu tubuhkan organisasi siasat kejadian UFO

TOKYO: Penggubal undang-undang Jepun pada Selasa bertemu untuk mewujudkan kumpulan dwipartisan yang akan meminta kerajaan menubuhkan organisasi untuk menyiasat fenomena udara tidak dikenal pasti atau

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)