PERWATAKAN setiap individu berbeza, sesetengah petah berbicara, selebihnya memilih menjadi pendengar dan membuahkan pendapat ketika ditanya.
Etika berbicara penting kerana setiap patah perkataan mungkin mengguris hati dan mendatangkan masalah.
Kita seharusnya menitikberatkan perasaan setiap individu atau berfikir dahulu sebelum berbicara.
Diam bukan berarti kita tidak ingin mengeluarkan kata-kata atau buah fikiran, tetapi diam bermakna berfikir sebelum mengeluarkan percakapan yang mampu mengundang penyesalan kemudiannya.
DIAM LEBIH BAIK
Kita diberi mata untuk melakukan pemerhatian dan telinga untuk mendengarkan sebuah topik sebelum memulakan perbicaraaan.
Kadangkala, tidak semua perkara yang kita lihat dan dengar ialah perkara benar.
Sebelum kita memberi pendapat tentang sesuatu perkara, kita hendaklah menjalankan sedikit penyelidikan ataupun mencari sedikit ilmu tentang perkara yang dibincangkan.
Sangat wajar sekiranya kita tidak mendengarkan sebuah kisah yang diceritakan “sepotong” sahaja dan tidak mengetahui keseluruhan kisah.
Oleh itu, kita hendaklah menggunaka dua telinga, dua mata dan satu mulut dengan sebaik-baiknya sebelum memberi pandangan balas.
Kita hendaklah berhati-hati kerana satu perkataan sahaja mampu mengguris hati.
Bak kata pepatah; lidah lebih tajam daripada mata pedang.
Ketika marah atau kesal, sebaiknya kita diam dan menahan diri daripada berbicara kerana ketika itu kita tidak berkata-kata menggunakan fikiran, tapi lebih kepada emosi.
Jika kita dipengaruhi emosi, sebaiknya kita diam sejenak agar dapat memberi ruang untuk berfikir secara rasional dan tidak bertutur melulu.
Sudah semestinya gaya percakapan setiap orang itu berbeza.
Bagaimana kita mampu menarik perhatian pendengar serta menjadikan idea yang ingin disampaikan itu mudah difahami?
Antaranya, kita hendaklah berbicara dengan nada dan intonasi perlahan seperti alunan lagu yang merdu dan enak didengar.
Jangan berbicara bagaikan orang yang mengejar masa atau cepat.
Jika ingin menyampaikan sesuatu, kita hendakalah berbicara dengan jelas dan tidak tergesa-gesa agar segala sesuatu yang ingin disampaikan mudah difahami dan jelas maknanya.
PENDENGAR FAHAM
Untuk menjadi pembicara yang baik, tempo dan intonasi hendaklah dijaga dan diperhatikan kerana ia menjamin cara kita untuk menarik perhatian pendengar.
Jangan berbicara dengan intonasi mendatar — membosankan serta tidak memberi impak kepada jalan cerita.
Berbicara sama seperti kita menceritakan sebuah jalan cerita.
Contohnya sebuah cerita dongeng.
Semestinya kita melakukan penceritaan yang mampu menarik perhatian dan membuat pendengar fokus kepada jalan cerita tersebut.
Ketika berada di kemuncak jalan cerita atau plot penting, kita hendaklah menggunakan sedikit intonasi dengan nada yang membuat pendengar menjadi penuh tanda tanya dan ingin terus mendengarkan jalan ceritanya.
Jika ingin menjadi pembicara yang baik, kita juga harus berbicara dengan jelas dan tidak berbicara seperti berbisik atau bermonolog sendiri.
Ia menyebabkan pendengar menjadi ragu dan tidak percaya.
Setiap patah perkataan yang dikeluarkan hendaklah jelas dan cara sebutan atau dialek harus difahami agar dapat membezakan setiapkan kata yang mempunyai sebutan serupa tetapi memiliki makna berbeza.
Ketika kita bercakap juga perlu ada jeda agar pendengar dapat memberi fokus dan memberi ruang kepada diri kita untuk menarik nafas atau menyusun kata-kata yang ingin dikeluarkan.
Penekanan kepada sesebuah isu penting kerana dapat membantu untuk menegaskan bahagian tertentu dalam perbicaraan yang perlu dititikberatkan atau diberi perhatian.
Suara atau laras suara dalam berbicara juga harus lantang bergantung dengan keberadaan sebuah perbicaraan itu dijalankan.
Selain itu, kita tidak boleh lebar mulut kerana terlalu banyak berkata-kata boleh menjadikan sesuatu perbicaraan itu kebohongan dan percakapan diibaratkan seperti “tin kosong”.
Oleh itu, lebih baik jika kita mendiamkan diri sebelum memulakan sebarang percakapan atau mengeluarkan kata-kata dan sebaiknya mendengar dan memerhati terlebih dahulu.
Berdiam diri bukan berarti tidak tertarik dengan perbicaraan yang diadakan, tetapi berdiam untuk memberi ruang dan masa untuk berfikir sebelum berbicara.
Lebih baik jika diam terlebih dahulu kerana dengan ini kita mampu membuat sedikit tafsiran dan dapat memahami sesuatu perbicaraan.