ARTIKEL

Etika, nilai baik bentuk masa depan AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KOD etika kecerdasan buatan (AI) yang dijangka siap menjelang 2024, bukan sahaja perlu mengandungi Tujuh Prinsip AI Bertanggungjawab tetapi juga menerapkan pendidikan dan kesedaran mengenai etika.

Forum Responsible AI: Designing Tomorrow with Ethics and Transparency (AI Bertanggungjawab: Mereka Bentuk Masa Depan dengan Etika dan Ketelusan) berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bersetuju bahawa selain prinsip yang disenaraikan dalam Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 itu, pendidikan awal mengenai etika dan nilai juga penting untuk membentuk masa depan AI.

Pengarah Digital dan Nasihat Analitik Kumpulan Fusionex, Freddy Loo berkata, sistem pendidikan negara tidak seharusnya mengehadkan fokus kepada melatih individu menjadi pengatur cara AI yang hebat.

Tetapi juga perlu mewujudkan kesedaran tentang bagaimana menjadi individu beretika untuk mengesan sifat berat sebelah dan empati.

“Semua ini perlu dilatih. Ketika ini kita banyak menumpukan pada kemahiran teknikal, tetapi jangan lupa kemahiran insaniah.

“AI sangat ditagih namun masalahnya ialah bagaimana untuk bermula dan banyak organisasi di Malaysia adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

PKS lebih kecil dan mempunyai sumber terhad.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah membantu organisasi ini menceburi AI secara kecil-kecilan dan apabila mereka melihat nilainya mereka boleh mengembangkan perniagaan.

“Saya rasa itu yang penting,” kata Loo yang juga ahli panel forum itu kepada Bernama.

Forum itu dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) sempena Selangor Smart City & Digital Economy Convention (SDEC) 2023 dan disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada 19 hingga 22 Oktober lalu.

Tujuh Prinsip AI Bertanggungjawab – saksama; kebolehpercayaan, keselamatan dan kawalan; privasi dan sekuriti; keterangkuman; ketelusan; akauntabiliti serta mengejar faedah dan kebahagiaan manusia – adalah garis panduan untuk pembangunan AI dipercayai dan bertanggungjawab yang berupaya melindungi hak dan privasi individu.

Loo berkata, pembangunan kod etika AI Malaysia adalah asas permulaan yang baik untuk kerjasama antarabangsa memandangkan isu memiliki kod etika AI standard turut berlaku secara global.

“Saya sangat berharap dan saya rasa ia adalah langkah pertama yang betul.

Saya harap ia bukan satu aktiviti yang dilakukan secara pengasingan oleh kerajaan sahaja dan didesak oleh peringkat atasan, ia haruslah satu kerjasama dengan industri.

“Dan, bukan aktiviti sekali itu sahaja, ia perlu menjadi aktiviti yang telah dikaji kerana AI berevolusi mengikut masa dan ia juga perlu bergerak merentas masa,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Perunding Beyond Consulting Ltd United Kingdom, Patricia Shaw berkata, AI menjadikan kehidupan lebih efisien dan produktif, namun pada masa sama ia boleh menurunkan tahap kemahiran dan mewujudkan ruang dalam pemaduan ilmu.

“Kita perlu mewujudkan legasi AI dalam kalangan penduduk.

Kita perlu membina kemahiran dan kesiapsiagaan, supaya kita melahirkan generasi akan datang yang saya gelar masyarakat mementingkan nilai, boleh memahami etika, nilai dan AI bertanggungjawab dan menerapkan ini dalam syarikat pemula, syarikat sedang berkembang atau PKS masa depan,” katanya dalam forum itu.

Shaw berkata, proses pembinaan kemahiran dan kesiapsiagaan itu akan membantu mewujudkan jenis AI yang diinginkan masyarakat untuk generasi masa depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang pada 10 Oktober lepas berkata, kod etika AI sedang dibangunkan dan dijangka siap menjelang 2024 dan akan menjadi asas peraturan berhubung AI di negara ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan kerangka perundangan dan akta berkaitan AI.

Menurut Chong, Jabatan Standard Malaysia (JSM) juga telah membentuk Jawatankuasa Cermin Kebangsaan bagi menghasilkan standard atau piawai AI kebangsaan. – Bernama

LAIN-LAIN BERITA

Eksport orkid sumbang RM4 bilion setahun

HASIL eksport orkid Malaysia mampu menyumbang RM4 bilion kepada industri florikultur di Malaysia kerana mendapat permintaan tinggi dari negara luar. Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian

Majukan sektor pertanian

MUKAH: Dalam memajukan sektor pertanian Sarawak, rakyat perlu terus memandang ke hadapan dengan memanfaatkan teknologi terkini. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri

BERITA TERBARU

Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan baharu

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). Kementerian