ARTIKEL

Fadillah (empat kanan) bersama Menteri Air dan Sumber Asli Negara Palestin, Dr Mazan Mohammed Rateb Ghanim (tiga kiri) mengadakan pertemuan dua hala sempena WWF ke-10 di BICC, hari ini. | Foto: BERNAMA

Fadillah bincang pengurusan air lestari dengan Bank Dunia, UNECE di Bali

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BALI, Indonesia: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengadakan perbincangan dua hala dengan Bank Dunia dan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Eropah (UNECE) tentang cabaran, pengalaman pengurusan dan model kewangan dari pelbagai negara berkaitan isu air.

Perbincangan dengan delegasi Bank Dunia yang diketuai Pengarah Serantau Kumpulan Amalan Pembangunan Lestari Asia Timur dan Pasifik, Anna Wellenstein, diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua sempena Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi di Forum Air Dunia (WWF) ke-10 yang berakhir hari ini.

Fadillah berkata pertemuan itu bertujuan untuk membolehkan pertukaran pengetahuan dan menghasilkan persetujuan bagi perbincangan lanjut yang melibatkan pegawai Malaysia dan Bank Dunia untuk meneroka bentuk kerjasama, seperti bengkel atau nasihat teknikal.

“Dari situ, Malaysia akan menentukan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan, sama ada melalui bengkel atau nasihat teknikal yang diperlukan untuk menjawab cabaran kewangan dalam pengurusan air.

“Pengalaman daripada negara lain dan model perniagaan baharu yang diperoleh ini diharapkan dapat memberikan idea baharu bagaimana kita boleh membangunkan dan memastikan kelestarian serta kelangsungan bekalan air untuk negara kita dalam semua aspek,” katanya kepada media Malaysia.

Menurut Fadillah, perbincangan dengan delegasi UNECE yang diketuai Pengarah Bahagian Alam Sekitar, Marco Keiner, memberi tumpuan kepada pengurusan sungai rentas sempadan yang dikongsi dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Brunei dan Indonesia.

Beliau menekankan keperluan pengurusan bersama bagi memastikan bekalan air bersih dan mitigasi risiko bencana seperti banjir, dengan mengambil contoh kerjasama melibatkan muara Sungai Golok di sempadan Kelantan, Malaysia dan Narathiwat, Thailand.

“Kita juga perlu bekerjasama dalam aspek sokongan teknikal UNECE kerana sempadan sungai di Malaysia merangkumi beberapa negeri seperti Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan,” katanya.

Fadillah percaya penyelarasan penjagaan kebersihan sungai, pengurusan banjir dan hakisan serta bekalan air yang baik memerlukan kerjasama semua negeri yang terlibat.

UNECE adalah suruhanjaya serantau di bawah bidang kuasa Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ia ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dan integrasi dalam kalangan negara anggota yang terdiri daripada 56 negara di Eropah serta beberapa negara di luar Eropah. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU