KUCHING: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut baik oleh Kementerian Kerja Raya.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam fokus kedua pakej Pemulih itu, langkah kerajaan untuk memudahkan cara prosedur perolehan kerajaan pastinya akan membantu memacu sektor pembinaan.
Jelasnya, sektor pembinaan juga turut terkesan akibat kenaikan harga bahan binaan susulan penularan pandemik.
Disamping itu kata Fadillah, langkah ini juga akan membantu golongan B40 dalam sektor berkenaan.
Menurut beliau, melalui Pemulih, Kerajaan telah mengumumkan untuk membenarkan perubahan harga (VOP) bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan daripada 1 Januari sehingga 31 Disember 2021.
“Dibawah pakej Pemulih, ia turut membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga, dengan penggunaan jadual kadar kerja kejuruteraan awam dan bangunan yang baharu serta jadual kadar kerja elektrik.
“Selain itu, ia juga membenarkan lanjutan masa (EOT) projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP tertakluk kepada klausa kontrak,” kata Fadillah dalam satu kenyatan hari ini.