Fahami derita pesakit kesihatan mental

BERDASARKAN rekod Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara bagi Sarawak, sebanyak 621 sesi kaunseling individu dan 110 sesi kaunseling kelompok telah dilaksanakan pada tahun 2016 hingga 2018.

Berjumpa dengan kaunselor atau ahli psikologi adalah lumrah bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan mental, namun ia mungkin sesuatu yang tidak dapat diterima bagi sesetengah golongan dalam masyarakat.

Bagi mereka, hanya orang yang mempunyai masalah berkaitan kewarasan yang memerlukan khidmat kaunseling walhal secara realitinya, ia lebih daripada yang disangkakan.

Stigma sebegini boleh dikatakan racun ataupun pembunuh sebenar kepada golongan ini.

Walaupun berada pada tahun 2019, masih ada yang berfikiran cetek dan sempit. Dan jika pemikiran ini menguasai pandangan umum, tidak mustahil ia akan membinasakan masa depan negara.

Kebelakangan ini, terdapat peningkatan ketara dalam kes penyakit mental dan bunuh diri. Mereka yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental yang semakin terjejas kebanyakannya akibat gaya hidup serta tekanan membangun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kesihatan yang baik turut merangkumi kesihatan mental dan bukan hanya fizikal semata-mata.

Ini jelas menunjukkan kepentingan komponen kesihatan mental dalam kehidupan seseorang individu. Kerana itu, pandangan negatif terhadap individu yang mendapatkan khidmat kaunseling perlu dikikis.

Ini kerana pandangan negatif inilah yang akan membuatkan mereka yang bermasalah atau menghadapi tekanan memendam perasaan dan mencari jalan keluar secara negatif seperti mengambil dadah, alkohol, malah mengambil jalan mudah dengan membunuh diri.

Golongan muda atau remaja juga tidak terkecuali daripada menghadapi tekanan.

Akhir-akhir ini, semakin banyak paparan di media tentang golongan muda yang membunuh diri akibat tidak mampu menangani masalah atau tekanan hidup.

Perlu diketahui bahawa bantuan kaunseling juga boleh membantu sedikit sebanyak dalam meningkatkan kemahiran seseorang agar dapat membuat keputusan yang sesuai demi kesejahteraan diri.

Walaupun tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat dan Iiputan media massa boleh dikatakan lebih tinggi berbanding dahulu mengenai kesihatan mental, namun usaha untuk mempromosikannya masih belum mencukupi.

Masyarakat perlu faham bahawa kaunseling merupakan proses bantuan profesional termasuk kaunseling individu, kelompok dan keluarga bagi membantu mereka memahami diri serta alam sekelilingnya.

Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya transformasi kefahaman masyarakat terhadap peranan kaunselor dan fungsi perkhidmatan kaunseling yang lebih menyeluruh ditingkatkan.

Peranan kaunselor dan khidmat kaunseling dalam masyarakat harus dilihat sebagai satu keperluan yang penting terutama dalam situasi masyarakat yang berhadapan pelbagai tekanan disebabkan oleh cabaran modenisasi dan industrialisasi.