Fahami interaksi dalam talian

INTERAKSI alam maya dan alam nyata dikawal peraturan dan norma tertulis atau tidak, yang menjadi pegangan setiap anggota dalam sesebuah komuniti.

Komuniti ialah kelompok kecil insan yang bersetuju untuk mendiami suatu ruang demi kepentingan peribadi dan kumpulan.

Komuniti ini menaungi insan serta melindungi diri daripada sebarang bentuk gangguan dari luar.

Komuniti alam maya biasanya terdiri daripada sekumpulan orang yang menjadi pengalaman, pegangan ataupun hubungan persaudaraan.

Komuniti ini berhubungan dengan perantaraan media sosial sama ada terbuka ataupun tertutup.

Media sosial terbuka seperti Facebook dan seumpamanya, sementara media sosial tertutup seperti WhatsApp.

Kajian menunjukkan seseorang individu di negara ini menganggotai sekurang-kurangnya tiga kategori kumpulan besar dalam media sosial.

Tiga kumpulan utama yang diwujudkan ialah kumpulan yang menghubungkan rakan-rakan sekolah atau seuniversiti, kumpulan saudara-mara dan kumpulan sepejabat.

Kumpulan ini memudahkan anggota berinteraksi antara satu sama lain.

Lumrah dalam semua interaksi lebih-lebih lagi dalam alam maya, biasanya akan ada interaksi yang menyebabkan anggota berselisih.

Interaksi sesama manusia disulami emosi dan perasaan setiap individu.

Perselisihan tidak dapat dielakkan kerana terdapat anggota tertentu yang mahu menjadi dominan dan menguasai interaksi kumpulan agar mengikuti pandangan dan pendiriannya.

Dalam komuniti maya, kemuncak perselisihan apabila ada anggota yang keluar dari kumpulan.

Penarikan diri ini sebagai langkah terakhir dengan orang itu “membakar jambatan.”

Dalam alam nyata, jiran tidak lagi bertegur sapa.

Sebelum anda mengambil langkah terakhir ini, saya cadangkan anda hayati kaedah berinteraksi dalam talian. Setiap orang harus memahami hakikat apabila menganggotai sesuatu kumpulan.

Premis ini terkandung dalam Teori Stuktur Disesuaikan (Adaptive Structuration Theory) yang didasari idea asal ahli sosiologi dan mantan Pengarah London School of Economics, Profesor Emeritus Anthony Giddens.

Beliau menjelaskan bahawa pola berinteraksi sesuatu kumpulan itu sebenarnya boleh diperhatikan dan pola ini yang sebenarnya membentuk struktur perhubungan.

Struktur mula terbentuk dan dipupuk apabila anggota dalam sesebuah kumpulan berinteraksi.

Struktur hubungan interaksi menjadi asas peraturan dan norma yang memandu anggota tindakan yang boleh dan tidak boleh diterima.

Struktur ini membentuk sistem komuniti yang diadun dan dihasilkan secara berterusan.

Maknanya, struktur ini tidak kekal statik tetapi bersifat luwes berdasarkan interaksi anggota kumpulan.

Bergantung kepada pemahaman dan penyesuaian yang dilakukan oleh individu, struktur ini menjadi stabil dan dinamik dalam jangka panjang.

Oleh kerana struktur ini terbentuk oleh interaksi, setiap anggota boleh mempengaruhi sistem komuniti yang dibangunkan.

Mudahnya, tiada seorang pun sepatutnya boleh menganggapnya sebagai dominan. Dalam kumpulan WhatsApp, pentadbir kumpulan juga tidak berkuasa dan kehadiran anggota dalam kumpulan atas kehendak setiap individu secara sukarela.

Dalam konteks ini, setiap anggota sesebuah kumpulan hendaklah sedar bahawa mereka terdiri daripada individu yang ditautkan kerana pengalaman atau hubungan kekeluargaan tertentu.

Pengalaman ini mungkin kerana pernah pergi ke sekolah atau institusi pengajian yang sama atau bekerja dalam satu pejabat.

Kumpulan media sosial menjadi wadah kita untuk meneruskan hubungan semasa bekerja.

Yang nyata ialah setiap anggota sesebuah kumpulan berbeza dari segi pendidikan, umur, status, hobi mahupun tahap kedewasaan.

Perbezaan ini menyebabkan kelainan pola pemikiran sehingga tercetus dalam diri setiap individu anutan dan pemikiran politik tertentu.

Kita cenderung berpegang bahawa hanya pendirian kita yang terbaik untuk semua orang.

Walhal, perkara sebaliknya ada benar.

Dalam sebarang kumpulan, kita harus bersedia bahawa terdapat anggota yang suka mengemukakan “posting” berbaur politik.

Biasanya, hantaran sebegini mengkritik malahan mengutuk parti politik lawannya.

Yang dikemukakan ialah mesej yang sejajar dengan pendirian politik kendiri.

Apabila menerima hantaran sebegini, terdapat anggota dalam kumpulan yang mudah tersinggung dan beremosi sekali.

Emosi yang tidak terkawal akan membuat seseorang bertindak membuat hantaran bagi menyanggah mesej kawannya.

Emosi perlu dikawal supaya kita tidak bertindak melulu. Ingat bahawa mereka dalam kumpulan ini terdiri daripada kawankawan dan bukan lawan kita. Namun ini tidak pula bererti, anda harus berdiam diri apabila sudah jelas dan nyata bahawa sesuatu hantaran bersifat fitnah atau berita palsu.

Menjadi tugas anggota mematikan fitnah dan membetulkan berita palsu yang sedang berleluasa, demi keharmonian masyarakat yang lebih luas.

Jangan pula kita menularkan fitnah apabila sudah jelas lagi terang.

Apabila menerima hantaran yang kurang berkenan di hati, janganlah kita cepat berbalah.

Perbalahan boleh dielakkan dengan kita bertindak membiarkan saja hantaran tersebut.

Yang lebih baik ialah kita memadamkan hantaran yang menyakitkan hati.

Hantaran ini mungkin sahaja
canda berlebihan, video tidak senonoh, artikel panjang dan sebagainya. Lihat balik hantaran dalam kumpulan anda.

Mereka dalam lingkungan umur 60-an dan ke atas, sudah biasa menerima surat berantai sejak kecil.

Kini, surat berantai ini berterusan dalam alam maya.

Menjadi tugas kita mendidik generasi muda untuk mengabaikan mesej berantai seperti ini.

Sebagai anggota kumpulan, kita harus sentiasa ingat akan tujuan keberadaan dalam kumpulan.

Kumpulan diwujudkan untuk menjalin silaturahim bagi kumpulan rakan sekolah atau institusi pengajian tinggi.

Untuk kumpulan keluarga pula, tujuan kita adalah untuk mengeratkan hubungan persaudaraan yang mungkin terpisah oleh jarak dan masa.

Kumpulan tempat kerja mempunyai peraturan lebih ketat dan formal.

Terdapat majikan yang memasukkan pekerjanya menjadi anggota tetapi kerelaan hati mereka.

Ketua sebegini menggunakan “kuasa” di pejabat dan menguatkuasakan dalam alam maya.

Pekerja bawahan mungkin tidak dapat keluar dari kumpulan, tetapi anda masih mempunyai hak di luar waktu pejabat.

Anda boleh mematikan talian anda selepas waktu pejabat.

Anda sedang membentuk peraturan yang menjadi struktur interaksi berkumpulan.

Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan.

Suara Sarawak