Faktor kejayaan program Persatuan Kedayan Limbang

LIMBANG: Kejayaan penganjuran Program Makan Tahun Perdana setiap tahun sering menjadi contoh kepada penganjuran di kawasan lain.

Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Limbang telah meletakkan standard yang tinggi yang mana telah dijadikan sebagai penanda aras dan ikutan kepada Persatuan-Persatuan Kedayan di tempat lain.

“Kejayaan dan pencapaian tersebut menjadi contoh serta ikutan di tempat-tempat lain dalam penganjuran Program Makan Tahun Perdana.

“Dalam masa yang sama turut menjadi contoh atau teladan kepada kaum-kaum lain di daerah Limbang yang mana mereka juga mempunyai program atau pesta masing-masing setiap tahun,” katanya semasa Majlis Kesyukuran di Kampung Bukit Luba, semalam.

Beliau yang juga ADUN Bukit Kota berkata, faktor kejayaan Persatuan Kedayan Limbang menganjurkan Program Makan Tahun Perdana adalah penglibatan secara menyeluruh pelbagai peringkat masyarakat Kedayan.

“Saya melihat pelbagai peringkat umur khususnya generasi muda, wanita dan badan bapa turut serta menjayakan penganjuran Makan Tahun Perdana.

“Sokongan penuh, kerjasama, perpaduan dan komitmen daripada semua kampung Kedayan di daerah Limbang telah turut menjadi penyumbang kepada kejayaan penganjuran program tersebut setiap tahun,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan ketua-ketua kampung supaya bertindak adil dalam pelaksanaan projek-projek kampung kerana KPI dan prestasi mereka akan dinilai dan sentiasa dipantau oleh Pejabat Daerah Limbang.

Dalam perkembangan lain, ujarnya kekosongan jawatan Pemanca kuota Melayu/Kedayan untuk daerah Limbang akan diisi dari kalangan suku Kaum Kedayan dalam masa terdekat dan sedang menunggu surat pelantikannya daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

Tambahnya, setiap tahun beliau telah memberikan geran peruntukan RM 25,000 untuk Program Makan Tahun Perdana, RM 10,000 untuk aktiviti serta geran tambahan RM5 ribu untuk aktiviti Persatuan Kedayan Limbang.

Kampung Sayung akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Makan Tahun pada tahun hadapan berdasarkan sistem giliran dan cabut undi.

Turut hadir Penghulu Sahat Bagol merangkap Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang, Walikota Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat merangkap Timbalan Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang dan Ketua Kampung Bukit Luba Herman Kampung.

Suara Sarawak