KUCHING: Kematian ikan lumba-lumba yang ditemukan di kawasan Pantai Kem Belia Pueh, Sematan semalam adalah akibat terdampar, termasuk kemungkinan kegagalan sistem peredaran darah akibat tekanan haba.
Menurut Kontroler Hidupan Liar Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati ada kesan gigitan jerung pada badan mamalia marin tersebut.

“Kandungan dalam perut sangat minimum dan didapati bercampur dengan pasir, yang menunjukkan bahawa haiwan tersebut berkemungkinan tidak berjaya mendapatkan makanan yang mencukupi sebelum terdampar,” katanya dalam kenyataan.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata melalui penelitian terhadap bentuk morfologi luaran dan jumlah gigi, mamalia marin tersebut dikenal pasti sebagai seekor lumba-lumba “False Killer Whale” (ππ ππ’πππππ ππππ π πππππ ) betina dewasa berukuran 3.85 meter panjang dan 1.77 meter lilitan badan.
Abang Arabi berkata pada mulanya, ikan lumba-lumba itu berjaya diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lundu/Sematan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam selepas dijumpai terdampar di pesisiran Pantai Pueh.
Bagaimanapun, katanya, sekitar jam 9 pagi, Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerima maklumat daripada nelayan tempatan bahawa mamalia marin tersebut telah kembali terdampar di kawasan Pantai Kem Belia Pueh.
“Haiwan berkenaan didapati berada dalam keadaan lemah dan akhirnya mati sekitar jam 2 petang,” katanya.
Susulan itu, katanya, SFC telah menjalankan prosedur operasi standard haiwan marin terdampar dan pemeriksaan nekropsi terhadap bangkai haiwan berkenaan, selain spesimen biometri untuk data bank DNA turut diambil sebagai rujukan di masa hadapan.
Abang Arabi berkata semua spesies mamalia marin (lumba-lumba, paus dan dugong) diklasifikasikan sebagai haiwan Terlindung Sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Justeru, beliau menyeru orang ramai agar tidak mengendalikan sendiri mana-mana hidupan liar yang terdampar, cedera atau mati, sebaliknya hendaklah segera melaporkan kejadian tersebut kepada SFC melalui talian hotline atau Pejabat Wilayah Kuching SFC yang berhampiran bagi membolehkan tindakan penyelamatan, pemeriksaan dan pengurusan yang sewajarnya dilaksanakan.
Menurutnya, sebagai rekod, “False Killer Whale” pernah direkodkan terdampar di pantai Miri pada tahun 2013.


