KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam kembali menjalinkan kerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM), yang menyaksikan syarikat telekomunikasi itu menjadi rakan rasmi teknologi FAM dan skuad Harimau Malaya, selama setahun sehingga Jun 2024.
FAM dalam satu kenyataan memaklumkan perkembangan tersebut membuktikan komitmen tinggi TM terhadap pembangunan bola sepak negara, selepas syarikat itu terlibat secara langsung dalam industri sukan berkenaan di peringkat domestik sepanjang dua dekad lepas.
“Kerjasama yang kembali terjalin bersama TM selepas kali terakhir berkolaborasi pada 2020, membuktikan hubungan baik FAM bersama syarikat telekomunikasi itu sentiasa dipelihara.
“Sudah pasti FAM gembira dan berbesar hati dengan jalinan kerjasama bersama TM, yang tentunya akan membawa manfaat besar kepada perancangan dan pembangunan skuad bola sepak kebangsaan,” kata Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Hamidin optimis hubungan strategik FAM dan TM dapat mencapai hasil penajaan yang menggalakkan, selain memberi peluang kepada TM mengetengahkan produk mereka untuk dinikmati jutaan peminat di tanah air.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran TM Shanti Jusnita Johari berkata kolaborasi itu akan membolehkan TM, meneruskan peranannya dalam memajukan bola sepak sebagai sukan nombor satu negara.
Beliau berkata TM menerajui evolusi teknologi telekomunikasi negara sejak sekian lama, ke arah membina Digital Malaysia dan kini mereka menjalani transformasi ke arah menjadi sebuah syarikat teknologi berteraskan insan ataupun Human-Centred Technology Company.
“Peralihan ini akan turut diterapkan dalam jalinan kerjasama antara TM dan FAM, dengan membawakan pengalaman baharu kepada penyokong pasukan kebangsaan melalui teknologi digital, serta perkhidmatan komunikasi dan kandungan,” katanya.
Terdahulu, perjanjian kerjasama itu ditandatangani Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman dan Naib Presiden Jenama dan Pemasaran TM Andrew Pinto, sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Shanti Jusnita.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram, ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM ACP (B) Md Dali Wahid, serta barisan pengurusan kanan Kumpulan TM. – BERNAMA