KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) disarankan untuk membantu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) membina rangkaian pemasaran hasil tani ke luar negara.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beliau yakin FAMA yang mempunyai cawangan di seluruh negara itu dapat membantu PPNS merancakkan lagi usaha pemasaran produk-produk negeri ini termasuk membina rangkaian perniagaan yang luas.
“Pada ketika ini fokus utama kita adalah mengurangkan jumlah produk import selari dengan sasaran Sarawak untuk menjadi pengeksport bersih produk dan hasil pertanian menjelang tahun 2030.
“Justeru itu, kita perlu menggerakkan keseluruhan rantaian bekalan sama ada dari pengeluaran, pemporsesan dan pemasaran.
“Di sini kita memberi tugas kepada PPNS untuk merangka mekanisma dan sistem, saya yakin FAMA dapat membantu PPNS PPNS untuk membina satu rangkaian pemasaran bukan sahaja di Sarawak, di Malaysia, tetapi terus ke luar negara,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dan My Rakyat di sini, hari ini.
Program yang membolehkan para petani menjual hasil tani pada harga yang lebih baik tanpa perlu melalui orang tengah itu merupakan kali pertama dianjurkan pada tahun ini disebabkan oleh pandemik Covid-19.