ARTIKEL

FAMA sasar RM7.3 juta jualan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

NILAI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan RM7.3 juta melibatkan 580 usahawan bagi penganjuran FAMA Fest seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata sasaran itu melibatkan lapan penganjuran FAMA Fest bermula Februari lepas hingga Disember ini.

Beliau berkata penganjuran acara itu sejak 2017 merekodkan jualan RM24 juta melibatkan 2,180 usahawan serta menarik 2.2 juta pengunjung.

“Bagi Negeri Sembilan, FAMA menyasarkan jualan RM250,000 dengan kedatangan 10,000 pengunjung dalam program empat hari bermula semalam di kawasan tapak parkir AEON Nilai dekat sini.

“Saya melihat pelbagai produk tempatan di negeri ini dapat diketengahkan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Perasmian FAMA Fest 2024@Negeri Sembilan di sini hari ini.

Sementara Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata program itu membuka peluang usahawan tempatan mengeksport produk ke pasaran antarabangsa seperti Hong Kong, China dan Thailand dengan potensi jualan sebanyak RM2 juta.

Dalam program itu, Aminuddin turut menyampaikan insentif geran berjumlah RM480,650 kepada 32 penerima meliputi tujuh projek FAMA termasuk Pembangunan Produk Usahawan Mikro IMAT, naik taraf Agrobazaar K-Shoppe, Agrobazaar K-Shoppe Baru serta Program Pembangunan dan Penjenamaan Produk Usahawan Melalui Kerjasama Pihak Industri Berkepakaran (PIB).

Antara tarikan utama FAMA Fest 2024@Negeri Sembilan ialah penawaran pelbagai produk makanan asas tani dan produk segar selain Kombo MADANI dan beras putih tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerajaan negeri menerima aduan daripada penternak lembu dan kambing yang berdepan isu lambakan serta memerlukan bantuan FAMA untuk memasarkan ternakan mereka.

“Saya mencadangkan kepada FAMA mencari pendekatan terbaik supaya penternak tidak berasa rugi, saya yakin ada pelbagai kaedah dapat digunakan.

“Negeri Sembilan tidak ada kekurangan daging menjelang Hari Raya Aidiladha, jadi para penternak dinasihatkan menjual pada harga berpatutan,” katanya.- Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU