FAS pilih jurulatih dari Sepanyol?

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) dijangka akan menambat jurulatih dari Sepanyol untuk mengemudi skuad Sarawak United yang akan beraksi dalam Liga Premier 2020.

Menurut sumber, jurulatih tersebut sudah pun berada di Kuching sekarang ini dan mengendalikan sesi latihan pasukan sejak seminggu yang lalu.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Sarawak United tidak membenarkan pihak media mengambil gambar sesi latihan.

Malah mereka juga enggan mendapatkan publisiti awal pihak media.

Calon jurulatih tersebut dibantu oleh bekas pemain Sarawak yang juga bekas jurulatih pasukan junior Sarawak.

FAS dijangka akan membuat pengumuman rasmi barisan jurulatih dan pemain selepas perayaan Hari Krismas atau selewat-lewatnya penghujung Disember ini.

Sarawak United dikatakan dibarisi beberapa pemain handalan, gabungan pemain dari Sarawak dan Semenanjung.

Antara pemain yang sudah ditambat ialah Ashri Chuchu, bekas pemain Harimau Muda dan Harimau Malaya yang sebelum ini menyertai pasukan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super 2019.

Malah, Sarawak United juga dijangka akan mengambil import asing berkaliber bagi menguatkan pasukan.

Sarawak United dibentuk melalui pembelian lesen kelab Selangor United yang menarik diri daripada Liga Premier 2020 ekoran masalah kewangan.

FAS bertindak sedemikian untuk memastikan pasukan Sarawak kekal bersaing dalam Liga Premier.

Namun pada masa sama Sarawak FA tetapi wujud, tetapi akan bermain dalam Liga M3 setelah kalah 3-1 kepada pasukan Kuching FA dalam perlawanan play-off November lalu.