FAS tiada niat tarik diri

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) tidak berniat untuk menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia 2021.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden FAS, Datuk Posa Majais Ahad lalu hanyalah bayangan sahaja.

Namun, ia disalah tafsir oleh pihak tertentu sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi.

Naib Presiden FAS, Phillip Jabu memberitahu, mesyuarat melibatkan exco badan induk berkenaan baru-baru ini tidak pernah membincangkan perkara itu (menarik diri).

“Kita (FAS) masih kekal bersaing dalam Liga Malaysia sampai bila-bila.

POSA MAJAIS… Presiden FAS.

“Kenyataan tersebut hanyalah bayangan beliau (Posa) sahaja dan bukan niat sebenar,” ujar Phillip kepada Suara Sarawak semalam.

Beliau berharap para peminat tidak terlalu cepat ‘menghukum’ presiden FAS.

Phillip yang mewakili semua exco masih menyokong penuh kepimpinan Posa menerajui FAS.

“Kami semua yang tahu akan pengorbanan serta komitmen Datuk Posa sepanjang meneraju tampuk kepimpinan FAS.

“Dan kami yakin masalah yang timbul akan dapat diatasi sepenuhnya,” tambah Phillip lagi.

Dalam akhbar ini semalam, Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Sarawak meminta Posa Majais berundur setelah mengeluarkan kenyataan “mungkin akan menarik diri daripada Liga Malaysia 2021” sekiranya gagal menyelesaikan kemelut kewangan.

Pengerusinya, Waili Abang mendedahkan; “Kami amat terkejut apabila beliau (Posa) menyatakan kemungkinan FAS akan menarik diri.”

“Ia merupakan keputusan yang kurang tepat, kerana akan memberi kesan negatif terhadap bola sepak Sarawak,” tegasnya pada sidang media khas di Kuching Selasa lalu.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah bekas pemain Sarawak, termasuk bekas jurulatih ternama Awang Mahyan Awang Muhammad dan Lucas Kallang.

Sementara itu, pasukan utama Sarawak United FC gagal menyerlah dalam saingan Liga Premier 2020 sekadar berada di tangga ke-10, sekali gus gagal ke Piala Malaysia.

Mereka kalah enam kali, seri dua kali dan menang tiga kali walaupun dibarisi sebahagian besar pemain dari Semenanjung, termasuk bekas pemain Malaysia, Amri Yahyah, S. Chanturu dan bekas bintang Harimau Muda, Ashri Chuchu.

PHILLIP JABU… Naib Presiden FAS.

Suara Sarawak