Trending

Fasa pertama SSLR siap 18.73 peratus – Nanta

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi | BERNAMA

KUCHING: Fasa pertama projek Jalan Penghubung Sabah dan Sarawak (SSLR) setakat Ogos lalu telah mencapai kemajuan sebanyak 18.73 peratus, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, fasa pertama Projek SSLR sepanjang 77 km iaitu dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng telah mula pelaksanaan di tapak pada 9 Ogos 2021.

“Projek SSLR yang bertujuan menyediakan jaringan jalan raya yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui Negara Brunei itu telah diluluskan secara berfasa oleh Kerajaan Persekutuan dan dijangka siap pada 8 Januari 2026,” katanya. 

Ahli Parlimen Kapit itu berkata demikian bagi menjawab isu berbangkit berkenaan isu SSLR pada ucapan Penggulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dalam Mesyuarat Khas, Penggal Kedua Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, semalam.

Berhubung SSLR Fasa kedua pula, Nanta mendedahkan projek ini telah diluluskan pada Mac 2023 dan telah melalui proses Makmal Pengurusan Nilai Peringkat Kajian Nilai (VA) pada 24 hingga 26 Mei 2023 dan Makmal Kejuruteraan Nilai (VE) pada 24 hingga 28 Julai 2023. 

Katanya, status terkini SSLR Fasa 2 adalah sedang dalam proses perolehan dan Surat Setuju Terima dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya Disember 2023.

Nanta juga memberi kepercayaan bahawa pihak kerajaan sentiasa komited dalam memastikan projek ini direalisasikan mengikut skop dan tempoh yang ditetapkan

“Justeru dengan terbinanya projek SSLR yang kelak akan terhubung dengan projek Lebuh raya Trans Borneo (LTB) dan lain-lain projek di sekitar, satu jaringan jalan raya yang komprehensif dan saling berhubung dapat direalisasikan. 

“Ini sekali gus memberikan akses perhubungan yang lebih baik untuk penduduk Sarawak dan Sabah tanpa perlu melalui negara Brunei Darussalam sekaligus mengurangkan tempoh masa urusan di pintu-pintu sempadan,” tambahnya. 

Beliau mendedahkan pembinaan projek ini akan meluaskan jaringan jalan persekutuan ke kawasan pedalaman yang akan membolehkan kawasan pedalaman terbabit memiliki perhubungan yang lebih baik kepada infrastruktur dan perkhidmatan awam lain, seterusnya menjana pertumbuhan sosioekonomi yang lebih baik.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru