Fatimah ajak peniaga kecil jadi rakan strategik Kenyalang Gold Card

KUCHING: Peniaga kecil digalak tampil menjadi rakan strategik Kenyalang Gold Card (KGC) supaya dapat membantu meringankan beban warga emas dalam membeli keperluan harian.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bukan sahaja syarikat besar menjadi rakan strategik KGC yang menawarkan diskaun kepada warga emas, malah peniaga kecil juga turut dialu-alukan berbuat demikian.

“Saya berharap ramai peniaga kecil di luar sana tampil menjadi rakan strategik kita seperti dilakukan peniaga gerai makan Laksa Mr Chua dan Lian Kueh Chap.

“Kedua-dua gerai ini memberi diskaun RM1 kepada pelanggan warga emas sebelum menjadi rakan strategik KGC.

“Oleh sebab itu, kita iktiraf mereka sebagai rakan strategik KGC dan berharap terus memberikan perkhidmatan terbaik untuk warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menyerahkan Plak dan Stiker Rakan Strategik KGC di gerai Laksa Mr Chua dan gerai Lian Kueh Chap di Ting Cafe, hari ini.

Datuk Seri Fatimah Abdullah menyerahkan plak kepada pemilik gerai Lian Kueh Chap.

Suara Sarawak