Bangga dengan sikap rakyat Sarawak saling membantu

KOTA SAMARAHAN: Inisiatif Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mewujudkan program Pantri Komuniti adalah usaha yang amat baik.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, usaha mulia itu wajar dicontohi oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) atau majlis perbandaran lain di negeri ini.

“Walaupun terdapat bantuan diberikan oleh kerajaan, namun kita tahu kemungkinan ada yang tercicir daripada menerima bantuan.

“Setiap usaha yang dijalankan sama ada oleh kerajaan dan disokong oleh NGO, syarikat atau majlis perbandaran seperti ini tentu sekali dapat memastikan tiada rakyat yang ketinggalan mendapat bantuan semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan bantuan bakul makanan dalam Program Pantri Komuniti di Farley Supermarket di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, setiap penerima mempunyai latar belakang yang berbeza, namun dengan harapan yang sama.

“Melalui sumbangan ini, mereka berharap ia dapat meringankan beban untuk dua hingga tiga hari ataupun sekurang-kurangnya dapat menghidangkan makanan untuk keluarga.

“Usaha ini sangat mulia dan saya amat menghormati bantuan seperti ini kerana ia tiada niat lain. Di samping itu, ingin membantu orang yang susah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan,” jelasnya.

Beliau turut memuji inisiatif pembungkusan bakul makanan untuk diagihkan kepada setiap penerima kerana ia menunjukkan keikhlasan penderma kepada penerima. Fatimah turut bangga dengan sikap rakyat Sarawak yang saling membantu agar tiada yang tertinggal mendapatkan bantuan.

Terdahulu, sebanyak 120 bakul makanan diserahkan kepada penduduk yang memerlukan di sekitar Kota Samarahan. Sebanyak 14 pasar raya terlibat dalam Program Pantri Komuniti siri pertama bermula 4 hingga 12 Julai lalu, dan tujuh pasar raya turut serta untuk siri kedua bermula 13 hingga 22 Julai ini.

Pengerusi MPKS Datuk Peter Minos; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Noriah Ahmad; Pengerusi Pantri Komuniti yang juga Ahli Majlis MPKS Datuk Sim Kiang Chiok; Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram dan Pengarah Urusan Farley Supermarket Ei Seng Lau turut hadir

Suara Sarawak