Fatimah: Patuh SOP sambut Tahun Baharu Cina

KUCHING: Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) tahun ini agak sunyi bagi semua orang, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah.

Fatimah yang juga berketurunan Cina bagaimanapun mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa menyambut perayaan TBC bagi mengekang penularan Covid-19.

“TBC kali ini agak sunyi bagi kami suami isteri, saya pasti ibu bapa lain yang mempunyai anak, cucu serta ahli keluarga yang tidak dapat pulang untuk menyambutnya turut merasakan apa yang kami lalui ini.

“Pasti kita berasa sedih dan rindu akan kehadiran mereka,” katanya dalam ucapan sempena TBC, hari ini.

Beliau dalam pada masa yang sama menasihatkan orang ramai untuk tabah menghadapi krisis pandemik ini demi kebaikan semua pihak dan terus bergerak ke hadapan serta belajar hidup dalam norma baharu.

SOP tahun ini hanya membenarkan sambutan dalam ahli keluarga terdekat dan aktiviti ziarah dibenarkan pada hari pertama sahaja dengan tidak melebihi 20 orang.

Sementara aktiviti yang menjadi tradisi sebelum ini termasuk tarian singa/naga, rumah terbuka, ziarah rumah ke rumah dan sambutan di tokong serta tempat awam adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Suara Sarawak