DALAT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) siap siaga bagi menghadapi musim banjir yang mungkin akan berlaku pada bila-bila masa di Sarawak.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, semua agensi terlibat sudah melakukan persiapan lengkap bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan kadar segera sekiranya berlaku banjir.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memastikan bantuan awal seperti makanan sudah disediakan terutama di kawasan yang jauh dari pekan.
“Kita juga menyimpan tilam, selimut, bantal, kit keselamatan dan sebagainya di depo supaya semua mangsa banjir mendapat bantuan yang sewajarnya,” katanya kepada Suara Sarawak.
Tambahnya, JPBN dan agensi keselamatan berkaitan juga telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko banjir setiap tahun untuk perhatian sewajarnya.
“Malah pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dikenal pasti termasuk menyediakan khemah kecil untuk menempatkan mangsa supaya penjarakkan sosial dapat diamalkan,” ujarnya.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan ramalan bahawa ribut petir di satu dua tempat di kawasan pedalaman Sarawak akan berlaku dari 23 hingga 28 Disember ini.