TERDAPAT lebih satu juta pengguna vape di negara ini dan 90 peratus daripadanya pernah merokok. Kebanyakan mereka memilih vape sebagai kaedah untuk berhenti merokok.
Sebilangan daripada mereka pula ialah pengguna baharu yang tidak pernah merokok dan mencuba vape atas dasar sifat ingin tahu.
Persoalannya, sejauh manakah penguatkuasaan dilaksanakan oleh pihak berwajib ke atas pemasaran produk rokok elektronik di negara kita?
Adakah kerana anggapan bahawa vape merupakan alternatif lebih “sihat” maka produk ini boleh dipasarkan tanpa kawal selia yang sewajarnya?
Walaupun undang-undang menjelaskan produk rokok elektronik hanya boleh dijual kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, mengapa pengiklanan produk ini masih menyasar golongan muda?
Walaupun anda berumur 18 tahun ke bawah, anda masih boleh membeli produk vape di Malaysia kerana kebanyakan kedai vape tidak meminta kad pengenalan pelanggan sewaktu berlaku urusan jual beli.
Hal ini kerana tiada penguatkuasaan tetap dilakukan dan notis “18 tahun ke atas” di luar premis hanya bertindak sekadar hiasan premis yang wajib ditampal untuk kekal beroperasi.
Namun, ditegaskan bahawa pengawasan berterusan penggunaan vape adalah perlu untuk memantau penggunaannya dalam kalangan mereka yang tidak merokok dan masih di bawah umur.
Memandangkan majoriti perokok tegar beralih kepada vape untuk berhenti merokok, sejauh manakah kebenaran bahawa vape merupakan alternatif sihat untuk berhenti merokok?
Hampir keseluruhan rokok elektronik yang dipasarkan di negara kita mengandungi nikotin.
Tahukah anda cecair nikotin dalam vape lebih berbahaya berbanding nikotin yang dihasilkan daripada asap pembakaran tembakau rokok tradisional.
Ini kerana cecair tersebut dihasilkan daripada ekstraksi daun tembakau secara tulen dan cecair ini disalurkan secara terus ke dalam saluran pernafasan pengguna vape.
Melalui beberapa analisis cecair rokok elektronik secara rawak oleh Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara, setiap botol yang mengandungi 25ml cecair rokok elektronik mengandungi sehingga 100mg nikotin.
Lebih 70 peratus pengguna vape mengatakan bahawa mereka menggunakan cecair vape yang mengandungi 40mg hingga 50mg nikotin.
Jadi dimanakah rasionalnya penyebab utama kebanyakan perokok tegar memilih vape sebagai alternatif lebih sihat daripada rokok?
BAHAN ROSAKKAN PARU-PARU
Laporan terkini ke atas analisis cecair rokok elektronik secara rawak menyatakan kesemua contoh cecair rokok elektronik daripada lima jenama berbeza mempunyai kandungan vanilin dan asetaldehid.
Kedua-dua bahan tersebut ialah karsinogen dan meningkatkan lagi kesan ketagihan yang dihasilkan oleh nikotin.
Karsinogen bermaksud bahan tersebut boleh menyebabkan seseorang menghidap kanser.
Vanilin ialah bahan pemanis yang menghasilkan rasa manis pelbagai perisa vape yang ada di pasaran.
Ia sering digunakan dalam produk makanan dan selamat jika dimakan.
Namun, dalam situasi vape, vanilin dipanaskan menjadi wap dan disedut masuk ke dalam paru-paru.
Sel organ paru-paru tidak dapat berfungsi kerana bahan tersebut.
Pihak yang perjuangkan penggunaan vape menggunakan laporan oleh Public Health England (PHE) yang menyatakan rokok elektronik 95 peratus lebih selamat berbanding rokok tradisional.
Tahukah anda bahawa kajian tersebut mempunyai pelbagai kelemahan dan mendapat penajaan daripada syarikat tembakau?
Hal ini kerana, syarikat tersebut ingin meningkatkan imej industri vape dan kajian yang memihak kepada mereka boleh menjamin pemasaran produk baharu syarikat.
Pada 2019, Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat melakukan kajian mendalam berkaitan peningkatan mendadak jumlah pesakit yang dirawat di hospital yang juga merupakan pengguna vape.
Kesemua pesakit mengadu mengalami sesak nafas, batuk dan sakit dada.
Persamaan kesemua pesakit ialah mereka menggunakan produk vape. Masalah kesihatan ini seterusnya dinamakan sebagai penyakit baharu yang digelar e-cigarette, or vaping, product use associated lung injury (Evali).
Sehingga Februari 2020, CDC merekodkan sebanyak 2,800 pesakit Evali yang dikejarkan ke hospital dan seramai 68 kematian direkodkan. Jumlah ini sentiasa bertambah berikutan peningkatan penggunaan rokok elektronik.
Oleh kerana penyakit ini baharu wujud akibat penggunaan vape yang kononnya lebih “sihat” berbanding rokok, tiada rawatan tertentu yang dikenal pasti untuk memastikan pesakit sembuh sepenuhnya.
Ramai yang mendapatkan rawatan di hospital terpaksa melalui rawatan susulan dan berterusan agar keadaan mereka tidak menjadi semakin parah.
Di Malaysia terdapat beberapa kes direkodkan dan pastinya jumlah yang dilaporkan lebih rendah daripada jumlah kes sebenar.
Penyakit ini terlalu baharu dan ramai pengamal perubatan masih tidak dapat mengenal pasti penyakit tersebut kerana tiada garis panduan serta penerangan terperinci tentang Evali.
Berdasarkan fakta dan kajian mendalam ke atas produk vape sedia ada, masih relevan alasan berhenti merokok menggunakan alternatif vape?
Amat membimbangkan apabila didapati iklan penggunaan vape seperti dinormalisasikan oleh masyarakat kita.
Tidak logik jika iklan rokok diharamkan tetapi pengiklanan vape dibiarkan, walhal mudaratnya tetap sama.
Melalui media sosial sahaja, terdapat pempengaruh dan selebriti tempatan yang mengajak pengikut mereka membeli produk vape atas dasar keuntungan.
Tahukah anda Malaysia antara pengeluar terbesar cecair rokok elektronik dunia?
KURANG KESEDARAN
Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2015 mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape, namun penggunaan dan penghasilannya masih berleluasa.
Lebih menyedihkan industri ini dimonopoli oleh Melayu Islam di negara kita.
Adakah kita ingin dikenali di mata dunia sebagai pengeluar terbesar produk yang diharamkan oleh agama?
Terdapat negara di dunia yang mengharamkan penggunaan dan penjualan produk vape di negara mereka, antaranya Thailand, Kanada dan Singapura.
Mereka memilih untuk mengambil langkah pencegahan awal dan menjaga kemaslahatan rakyatnya dengan polisi pengharaman.
Pejuang hak pengguna tegar rokok elektronik mengatakan bahawa tidak wajar melarang mereka menggunakan produk tersebut.
Bagi mereka, larangan tersebut mewujudkan pasaran gelap untuk produk vape dan boleh menjejaskan keselamatan mereka kerana terpaksa memilih produk yang tidak dikawal oleh undangundang.
Ironinya, produk tersebut sememangnya tidak selamat cuma kaedah pembelian sahaja yang berbeza jika mereka membelinya dari pasaran gelap.
Jika tiada usaha jitu dilakukan untuk mencegah penggunaan vape, perkara ini boleh memudaratkan hingga ke tahap yang sukar dikawal.
Intervensi yang berkesan dan bermatlamatkan kemaslahatan jangka masa panjang perlu disegerakan agar kita dapat membentuk generasi berdaya tahan pada masa akan datang.
