ARTIKEL

Datuk Dr Jeniri Amir bercakap pada sidang media Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Festival Bahasa & Sastera Peringkat Negeri Sarawak 2024 dari 15-19 Julai tingkatkan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak tujuh program menarik disusun bagi memeriahkan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang akan berlangsung dari 15 hingga 19 Julai ini.

Festival itu, yang memasuki tahun kedua penganjuran dan akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di sini, bertujuan memantapkan dan meningkatkan minat serta penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar bukan Melayu di negeri ini.

Menurut Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Jeniri Amir, festival tersebut melibatkan penyertaan daripada 11 Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh Sarawak dan tujuh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dari sekitar Bahagian Kuching.

“Pelbagai aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan disediakan sepanjang lima hari festival ini.

“Ia termasuk pertandingan forum pelajar dan klip video pendek, pertandingan bicara berirama, pertandingan penglipur lara moden, program bimbingan pemerkasaan forum pelajar, dan program bacaan lima minit melibatkan para pelajar SMPC.

“Manakala dua lagi program disediakan untuk para pelajar SJKC, iaitu pertandingan lagu berkumpulan dan pertandingan bercerita,” katanya pada sidang media Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, antara lain objektif penganjuran ialah melahirkan pelajar bukan Melayu yang berkebolehan berhujah dan mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu dengan baik, berkesan, kreatif dan meningkatkan keyakinan diri.

“Selain itu, ia juga untuk melahirkan model penggunaan bahasa Melayu baku yang sempurna daripada segi tatabahasa, sebutan dan gaya.

“Di samping itu, mewujudkan rasa kebersamaan dan bangga akan bahasa serta sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, sekali gus diharap melahirkan pelajar yang cinta akan bahasa Melayu,” ujarnya.

Tambahnya, program itu diyakini berupaya meningkatkan imej dan sinergi DBP melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, terutamanya agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.

Datuk Dr Jeniri Amir (depan, tengah), Abang Haliman Abang Julai (depan, dua kanan) dan Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming (depan, dua kiri) pada sidang media Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Sarawak 2024 di sini, hari ini.

“Saya percaya sebagai rakyat Malaysia, penting untuk kita semua menguasai bahasa Melayu, dan langkah yang diambil oleh pihak sekolah aliran Cina ini harus dipuji.

“Justeru, diharap penganjuran yang akan datang terus mendapat sambutan menggalakkan kerana ia penting dalam membantu kita membina intelektual, kreativiti serta kefahaman para pelajar bukan Melayu,” jelasnya.

Hadir sama, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai, Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga SMPC, Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming, Ketua Eksekutif SMPC, Hong Woan Ying, dan pengetua-pengetua SMPC.

Festival yang bermula pada Isnin, 15 Julai ini, akan menyaksikan pertandingan penglipur lara moden bermula jam 8 pagi, diikuti pertandingan bercerita pada jam 2 petang.

Pada 16 Julai pula akan berlangsung pertandingan bicara berirama dan pertandingan nyanyian berkumpulan.

Manakala program bimbingan pemerkasaan forum pelajar bakal diadakan pada 17 Julai.

Sementara itu, pada 18 Julai diadakan pertandingan forum pelajar dan klip video pendek, diikuti majlis makan malam.

Majlis penangguhan serta penyampaian hadiah akan berlangsung pada Jumaat, 19 Julai, jam 8.30 pagi dengan Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, selaku tetamu kehormat.

Semua kategori pertandingan tersebut menawarkan hadiah berupa wang tunai bernilai RM1,000 hingga RM2,000, sijil dan buku terbitan DBP untuk johan, naib johan, tempat ketiga serta penerima hadiah sagu hati.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU