ARTIKEL

Festival Kuching 2026 sasar 1.3 juta pengunjung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penganjuran Festival Kuching 2026 selama 26 malam dijangka menarik 1.3 juta pengunjung, sekali gus memperkukuh peranannya dalam memacu sektor pelancongan, keusahawanan dan hubungan antarabangsa Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata skala festival itu yang dianggarkan menerima 100,000 pengunjung dalam tempoh dua malam membuktikan daya tarikannya yang kukuh serta memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada peniaga dan bandar raya ini.

“Mudah sahaja. 100,000 orang dalam tempoh dua malam dan festival ini berlangsung selama 26 malam.
“Berapa ramai pengunjung kesemuanya? Pendedahannya adalah kepada 1.3 juta orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Kuching di Panggung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, festival tahunan itu kini berkembang melangkaui sebuah pesta makanan dan menjadi platform penting untuk memperkenalkan Kuching serta Sarawak kepada dunia menerusi rangkaian bandar persahabatannya.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan dengan kewujudan Jalan Kuching South di Guro, Korea Selatan yang lahir daripada hubungan erat antara MBKS dengan bandar berkenaan.

“Jika bukan kerana hubungan dua hala menerusi bandar persahabatan, bagaimana sebuah jalan di Seoul, Korea Selatan boleh dinamakan Kuching South?” katanya.

Justeru, katanya, hubungan tersebut terus diperkukuh menerusi penyertaan delegasi Guro dalam Festival Kuching tahun ini yang memberi peluang kepada Sarawak mempamerkan hospitaliti, budaya dan keunikan bandar raya Kuching.

“Dengan kehadiran delegasi Guro pada tahun ini, kita mahu mempamerkan hospitaliti terbaik Sarawak sebagai penghargaan kepada mereka,” ujarnya.

Selain mengukuhkan hubungan antarabangsa, beliau berkata Festival Kuching 2026 yang menampilkan 425 gerai turut menjadi platform kepada penduduk tempatan mengetengahkan kreativiti dan kemahiran menerusi penyertaan dalam sektor makanan.

“Sebahagian pengendali gerai terdiri daripada golongan profesional seperti peguam, perunding dan arkitek yang mahu berkongsi bakat serta hasil kreativiti mereka dengan masyarakat Kuching.
“Mereka membuka gerai bukan kerana kerjaya mereka tidak berjaya, sebaliknya mahu menunjukkan kemahiran dan berkongsi kreativiti dengan penduduk kerana Kuching adalah bandar raya mereka, bandar raya saya dan bandar raya kita,” tegasnya.

Dr. Sim berkata, festival itu turut memberi peluang kepada mahasiswa Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memperoleh pengalaman keusahawanan secara praktikal dengan menguji sambutan terhadap produk sebelum membuka perniagaan tetap.

“Ini merupakan contoh terbaik latihan keusahawanan jalanan kerana mereka memperoleh latihan praktikal melalui pengalaman sebenar dan bukan hanya mempelajari teori,” jelasnya.

Pada masa sama, katanya, Festival Kuching turut membantu peniaga dalam talian yang sebelum ini berdepan kesukaran untuk mendapatkan perhatian serta memperkenalkan produk mereka kepada lebih ramai pelanggan.

Dalam pada itu, beliau berkata susunan gerai makanan masyarakat Melayu, Dayak dan Cina secara bersebelahan mencerminkan keharmonian serta keterangkuman rakyat Sarawak, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Selain makanan, Dr. Sim berkata Festival Kuching turut mengetengahkan kebudayaan Sarawak menerusi persembahan muzik tradisional dan tarian pelbagai etnik, selain aktiviti moden seperti K-Pop dan cosplay.

“Kita boleh meminta Guro menyediakan anugerah supaya pemenang pertandingan K-pop Festival Kuching berpeluang membuat persembahan di sana.

“Kita tidak seharusnya memandang rendah bakat tempatan kerana siapa tahu, peserta dari Kuching mungkin mampu memenangi pertandingan K-pop di Korea Selatan,” ujarnya.

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

Rampa menua, budaya Ulu Entabai pematak SIE

PEMANAH rampa menua, peneleba ngatur kem entukar besai ba tebing sungai sereta penyelai adat enggau budaya komuniti Iban nyadi pekara pematak raban program Sarawak Interior