KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menafikan dakwaan bahawa sewaan tapak gerai Festival Makanan Kuching 2022 diberikan secara percuma kepada kaum Cina.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng menegaskan, harga sewa tapak gerai tersebut telah ditetapkan dan ia juga sama seperti penganjuran festival pada tahun-tahun sebelum ini.
“Saya tidak pasti sama ada dakwaan ini dilakukan secara sengaja atau tidak tetapi tolong jangan merosakkan keharmonian di Sarawak. Tiada siapa yang berhak berbuat demikian.
“Justeru, tiada istilah orang Cina tidak perlu bayar, orang Melayu perlu membayar sewa tapak gerai kerana apabila sewa ditetapkan dengan semua orang perlu membayarnya,” kata beliau.
Hong Seng berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program penyerahan sijil Kempen Kebersihan Tandas Kuching di Lobi MBKS, dekat sini, hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya mereka masih mengekalkan harga yang sama seperti sebelum ini dan telah cuba mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu untuk memastikan makanan yang dijual mampu dibeli oleh pengunjung.
Menurutnya, MBKS juga telah berbincang dengan para perniaga supaya menawarkan harga makanan yang berpatutan.
“Selain itu, harga sewa kanopi pada ketika ini juga dinaikkan oleh pembekal, tetapi kami masih mengekalkan sewa tapak dengan harga yang sama. Jadi ini adalah salah satu cara kita untuk membantu sebenarnya,” ujar beliau.