
KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) buat julung kalinya mengadakan festival makanan dengan penyertaan lebih 40 pengusaha makanan dan produk di Kompleks Beli-Belah Majma, di sini, hari ini.
Yang di-Pertuanya, Datuk Misnu Taha berkata, program tersebut bagi meningkatkan dan memperkenalkan pengambilan sijil halal dalam kalangan pengusaha untuk menghasilkan produk dan makanan yang halal.
Di samping itu katanya, bagi meningkatkan aktiviti perniagaan terhadap peniaga di kawasan tersebut memandangkan ia antara lokasi pilihan menjelang bulan puasa.
“Selain itu, program ini akan meningkatkan atau memperkenalkan sijil halal kepada para peniaga supaya mudah untuk peniaga menjual barang-barangan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis di sini hari ini.
Program diserikan dengan kehadiran Presiden Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SEBATI) merangkap isteri Premier, Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang sekali gus merasmikan festival.
Turut mencuri tumpuan, tukang masak terkenal tempatan, Chef Muluk dalam programnya ‘Maggie Masak-masak Kitchen’ bersama masyarakat.