
PADAWAN: Festival Mistik Bidayuh bukan sekadar mempromosikan tradisi, budaya, warisan dan makanan kaum Bidayuh malah memupuk perpaduan pelbagai kaum di sini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr Santhara J.P berkata, festival yang mengetengahkan budaya dan warisan unik kaum Bidayuh harus dipulihara dan dikekalkan.
Malah, katanya, ia juga membantu mempromosikan pemahaman dan keharmonian kepelbagaian budaya antara kaum dalam komuniti.
“Program sebegini adalah program yang memupuk perpaduan kerana ia mencari satu titik persamaan.
“Titik persamaan ini boleh datang dalam pelbagai perkara dari agama, etnik dan kebudayaan yang dinikmati bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Mistik Bidayuh di Dewan Parish St Paul Kampung Bunuk, di sini malam tadi.
Justeru, Dr Shantara berkata, persatuan-persatuan kaum yang lain harus mengikut langkah Persatuan Segu Bunuk Penrissen (PSBP) dalam menganjur acara yang serupa.
Katanya, ia juga sebagai usaha untuk memelihara dan mempromosi tradisi, warisan dan budaya unik kaum masing-masing.
“Saya yakin di bawah kementerian menyokong program-program seperti ini dan terus bantu khususnya melibatkan masyarakat asal Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Santhara turut menyempurnakan pertanding ratu cantik “Dayung Remus” dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi yang juga penaung PSBP Datuk Willie Mongin.